Selasa, 1 Februari 2011

Ucapan Dasar Pengerusi NAS Sesi 2009/2011

Pengerusi NAS Sesi 2009/2011


MUQADDIMAH

Sidang muktamar sekalian,

Marilah sama-sama kita merafakkkan setinggi-tinggi kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah SWT kerana dengan kekuatan, inayah dan izin-Nya kita dipertemukan dalam sebuah majlis yang gilang –gemilang sebegini bagi sama-sama kita menyempurnakan tanggungjawab kita sebagai ahli sebuah organisasi, juga sebagai mahasiswa yang senantiasa peka serta proaktif dalam membantu memastikan penerusan kesinambungan kepimpinan di peringkat mahasiswa dan hatta yang lebih utama adalah kehadiran kita sebagai hamba Allah yang sedaya upaya berusaha semampu mungkin menunaikan amanah yang ditaklifkan ini sekalipun hanya sebagai ahli kepada sebuah organisasi yang kelihatan begitu remeh dan mudah pada zahirnya walhal ia tetap punyai di sisi Tuhan Yang Maha Mengetahui. Sekalung tahniah juga harus disisipkan buat semua yang hadir bersama-sama kita pada malam ini.

IMBASAN SEJARAH

Nadi Al-Syariah (NAS) ditubuhkan secara rasminya pada 24 Ramadhan 1430H bersamaan 14 September 2009M denga majlis pelancarannya yang telah disempurnakan oleh Timb. Ketua Eksekutif Hal Ehwal Akademik KIAS pada masa tersebut iaitu YBrs. Dr. Zakaria bin Mahmood @ Daud. Menerima tanggungjawab sebagai generasi sulung yang diamanahkan meneraju sebuah organisasi peringkat kelab bukanlah suatu perkara yang mudah dan tidak boleh dipandang enteng. Realitinya, kita perlu merencanakan dan menggarap sesuatu yang tiada kearah kewujudannya. Namun, berkat usaha sama dan keterlibatan Ketua Jabatan Al-Syariah dan para pensyarah amat bermakna dalam membantu memastikan kelancaran perjalanan organisasi ini. NAS secara asasnya telah mengambil ketetapan pergerakkan yang lebih terarah kepada pembangunan akademik di samping perkara-perkara lain yang turut sama dititkberatkan. Ianya searah dengan tujuan penubuhan NAS yang turut menekankan pembangunan akademik mahasiswa Jabatan Al-Syariah.

NAS telah sebaik mungkin merancang dan merangka program dan aktiviti yang dilihat wajar serta diperlukan buat mahasiswa Jabatan Al-Syariah. Bermula dengan program ilmiah yang bersifat pembentangan kertas kerja, turut dipelbagaikan dengan bentuk kupasan bahan bacaan terpilih yang kemudiannya juga diadakan program penggunaan aplikasi penting seperti Maktabah Shameela. Dalam pada itu NAS juga turut mengambil peranan dalam pelbagai pogram dan aktiviti mahasiswa seperti pameran di Hari Terbuka Kampus KIAS 2010 (HITEK’10), menghantar mahasiswa ke Seminar Sebatan Syariah di Balai Islam Lundang dan turut bekerjasama dengan Persatuan Mahasiswa KIAS dan beberapa kelab yang lain bagi mewujudkan kerjasama yang baik dengan semua pihak.

Sidang muktamar sekalian,

Selari dengan motto NAS yang kita sama-sama dukungi “Ke Arah Melahirkan Generasi Faqih Berjiwa Da’ie”, maka NAS berusaha semaksima mungkin untuk merintis generasi ulama-ul ‘amilin yang faqih dan berjiwa da’ie. Sesungguhnya di bahu setiap kita yang membawa amanah ilmu ini terpikul tanggungjawab yang besar dalam menjadi qudwah dan rujukan kepada masyarakat hari ini. Kitalah mata rantai yang meneruskan legasi perjuangan menyebarluaskan kefahaman yang jelas dan benar tentang syariat Islam kepada masyarakat yang kian parah dijangkiti virus jahiliyyah moden mutakhir ini.

Firman Allah SWT, mafhumnya: “Tidaklah sepatutnya bagi semua orang beriman itu keluar ke medan perang,mengapa tidak segolongan mereka kekal tinggal untuk mendalami ilmu agama ini dan kemudian memberi peringatan kepada kaum mereka apabila mereka pulang nanti mudah-mudahan mereka beringat.”(Surah At-Taubah:122)

Dalam ayat ini secara jelas Allah SWT menggariskan kepada kita sebagai Hamalatul Ilmi dua peranan:

Pertama: (ليتفقهوا في الدين) iaitu peranan kita dalam mencari gali ilmu agama ini sebanyak mungkin.Justeru itu,setiap kita sebagai pelajar berkewajipan mencari setiap ruang dan peluang yang wujud di hadapan kita untuk menghadam ilmu-ilmu syariat sebaik mungkin dengan penuh komitmen dan kesungguhan. Di kesempatan ini juga suka untuk saya nyatakan di sini bahawa kita sebagai mahasiswa/wi al-Syariah tidak sepatutnya sekadar menjadikan ruang menimba ilmu terbatas di dalam kuliah sahaja, bahkan sepatutnya kita sebagai golongan intelektual berusaha mencipta ruang dan peluang utk memantapkan kefahaman kita melalui medium-medium yang ada luar daripada kuliah. Lebih-lebih lagi negeri Kelantan ini dikenali dengan jolokan Serambi Mekah yang kaya dengan khazanah ilmu-ilmu Islam. Amatlah rugi mereka yang alpa.

Justeru, tanpa komitmen yang jitu, matlamat melahirkan generasi yang faqih tidak mungkin tercapai.

تَرْجُو النَّجَاةَ وَلَمْ تَسْلُكْ مَسَالِكَهَا إِنَّ السَّفِينَةَ لا تَجْرِي عَلَى الْيَبِسِ

“Kamu menghendaki kejayaan tanpa mengikut jalan-jalannya,sesungguhnya kapal tidak akan berlayar di atas darat!”

Kedua: (ولينذروا قومهم)iaitu peranan kita sebagai da’ie dalam erti kata bagaimana kita menterjemah dan menyebarluaskan ilmu syariat yang telah kita dalami. Sesungguhnya amanah ilmu itu adalah menyampaikan. Setiap kita sebagai hamalatul ilmi memikul beban tangungjawab mereformasikan masyarakat kita yang kian ketandusan akhlak dan moral. Kitalah pewaris tugas kenabian yang memainkan peranan penting di dalam mengubah lanskap sosial masyarakat kita hari ini.

Nabi SAW telah meletakkan kewajipan ini di atas pundak setiap mereka yang mendengar dan memahami perkataan daripada Baginda SAW,

بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً

Maksudnya: “Sampaikanlah daripadaku walau satu ayat”.

Di sana juga diberikan peringatan kepada para hamatul ilmi supaya tidak sekali-sekali menyembunyikan kebenaran yang diketahui,

Firman Allah SWT, mafhumnya: “Sesungguhnya mereka yang menyembunyikan kebenaran dan petunjuk yang Kami turunkan setelah Kami jelaskannya kepada manusia di dalam Kitab ini mereka itu golongan yang dilaknat oleh Allah dan para pelaknat, kecuali mereka yang bertaubat, memperbaiki dan menerangkan kembali kepada manusia, maka mereka itu diterima taubat dan sesungguhnya Aku Maha Penerima taubat dan Maha Penyayang.(Al-Baqarah 159-160)

TARBIAH PEMANGKIN MAHASISWA BERTAKWA

Tarbiah ibarat tulang belakang bagi mana-mana individu mahupun gerakan. Contoh tarbiah yang terbaik adalah daripada baginda Rasulullah S.A.W. Anak didik yang lahir daripada madrasah Baginda adalah para sahabat yang benar-benar memahami Islam secara syumul dan sanggup mempertahankan agama Islam walau terpaksa bergadai nyawa. Mereka benar-benar yakin terhadap janji-janji Allah S.W.T. Mereka yakin dengan kebenaran Islam. Kemuliaan kita adalah dengan Islam. Semestinya Islam yang kita anuti hari ini tidak akan dapat kita rasai nikmatnya jika Baginda dan para sahabat tidak berjuang bermati-matian dalam menyampaikan risalah yang suci ini.

Ironisya, kemunduran umat Islam pada hari ini adalah antara natijah yang terhasil daripada sikap terlalu memandang rendah dan enteng terhadap soal tarbiah serta kerohanian sehingga kita semua terpaksa menanggung akibatnya. Hasilnya, hubungan umat Islam makin jauh dengan al-Khaliq, tidak yakin dengan kebenaran ajaran Islam dan tidak mengikuti jalan-jalan yang telah dirintis oleh Baginda dan para sahabat. Ulama-ulama kini kian dicaci, dicemuh dan dipandang rendah. Soal-soal yang berkait dengan agama semakin hari telah dikuasai oleh golongan yang tidak sepatutnya. Golongan yang mengetahui ajaran Islam pula semakin menyepi dan lebih berminat untuk memilih berada dalam zon selesa, tidak mahu menerima ujian yang berat, tidak mahu diuji dengan harta benda dan sebagainya.

Melihat kepada masalah yang telah berlaku ini, NAS mesti terus merancang, menyusun dan melaksanakan agenda-agenda tarbiah serta kerohanian dalam melahirkan para mahasiswa dan mahasiswi al-Syariah yang benar-benar bermutu sebelum mereka terjun ke dalam masyarakat untuk berbakti. Kita mahu menjadikan NAS sebagai salah satu platform untuk melahirkan generasi Ulama Rabbani yang akan menyambung risalah Islam.

Kita semestinya bersama-sama menggerak gempurkan kesedaran dalam jiwa hati nurani kita semua agar tarbiah yang bakal dilaksanakan benar-benar berkesan dalam jiwa pemuda dan pemudi kita. Konsep al-Ihsan dan Tawakkal kepada Allah mesti diperkemaskan. Konsep al-Ihsan adalah sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam hadis baginda Rasulullah yang berbunyi:

أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ

Yang bermaksud: “Hendaklah kamu beribadat kepada Allah seolah-olah kamu melihat-Nya. Jika kamu tidak melihat-Nya, sesungguhnya Allah melihat kamu.

Kita juga perlu mempertingkatkan pergantungan yang tinggi kepada Allah ke tahap yang paling maksima. Sejarah telah membuktikan kepada kita bahawa individu yang tidak meletakkan pergantungan kepada Allah, sekalipun dia adalah daripada golongan agama, dia akan terus rebah dan tersungkur apabila diuji dengan wang, harta dan pangkat.

Dr Yusof Al—Qardhawi menggariskan 3 bentuk tarbiyah yang perlu dilalui oleh para pemuda dan pemudi Islam;

Pertama: Tarbiyah Ruhiyyah:iaitu membina hubungan kita dengan Allah SWT Pencipta kita.

Kedua:Tarbiyah Nafsiyyah:iaitu membina syakhsiyah dan sifat-sifat mahmudah dalam diri .

Ketiga: Tarbiyah Jundiyyah:iaitu membina kemantapan fikrah,mental dan fizikal sebagai tentera-tentera Allah.

Apabila menyentuh persoalan tarbiyah,kita tidak dapat lari daripada soal pembinaan syaksiyah diri sebelum menyentuh persoalan pembinaan masyarakat.Justeru itu,di kesempatan ini saya melontarkan satu kata-kata keramat untuk sama-sama kita renungi dan jadikannya sebagai pegangan kita,

أَصْلِحْ نَفْسَكَ وَادْعُ غَيْرَكَ

“Perbaiki diri kamu dan serulah orang lain”

Tuntasnya, kita semua sebagai para duat perlu berusaha mengislahkan jatidiri dan syakhsiyah kita sendiri ke tahap yang tertinggi agar kita mampu menjadi figure-figure perubah kepada masyarakat di luar sana. Apabila kita mnyentuh persoalan pmbinaan jati diri pula, kita tidak dapat lari daripada persoalan akhlak dan ibadah. Suka saya menyeru setiap kita agar mementingkan persoalan akhlak terpuji dan mengikis akhlak-akhlak negatif daripada diri setiap kita. Juga persoalan ibadah yang tidak tega utk kita kesampingkan, soal menjaga solat, menghidupkan Masjid Kampung Laut dengan solat berjemaah, meperbanyakkan hadir ke majlis-majlis ilmu dan sebagainya. Logiknya, kita sebagai mahasiswa/wi al-Syariah yang merupakan golongan majoriti di dalam masyarakat kampus KIAS ini, seandainya setiap tenaga kita dikerahkan, saya percaya kita semua mampu mencipta perubahan kea rah suasana yang kita impikan di bumi KIAS ini.

WAHDAH PENJANA KEKUATAN

Sidang muktamar sekalian,

Seluruh mahasiswa dan mahasiswi di semua peringkat perlulah menyedari bahawa dengan ikatan kesatuan yang teguh, kekuatan pasti akan terbina. Ini amat bertepatan sekali dengan apa yang telah digariskan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran Surah Ali Imran ayat 103:

وَاعْتَصِمُواْ بِحَبْلِ اللّهِ جَمِيعًا وَلاَ تَفَرَّقُواْ

yang bermaksud:

“berpeganglah kamu semua dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah”

Oleh itu, segala bentuk proses penjanaan semula ikatan kesatuan antara ahli-ahli dalam NAS perlulah difikirkan bersama melalui aktiviti-aktiviti yang dapat menyatu-padukan seluruh ahli dan sekaligus dapat menghindarkan segala anasir-anasir luar yang dapat memecah-belahkan kesatuan ini.

Di samping itu, komitmen dan kerjasama seluruh ahli di bawah naungan NAS amatlah diharapkan dalam menjayakan misi kesatuan dan wahdah yang perlu dilaksanakan tanpa hanya berpeluk tubuh dan mengharapkan barisan kepimpinan sahaja untuk memerah fikiran dan tenaga untuk memastikan ianya berjaya. Gunakanlah seluruh ruang kosong yang dimiliki oleh diri masing-masing untuk berfikir mengenai cara dan strategi yang mantap untuk mewujudkan wahdah yang berterusan yang bertitik tolak dari kesedaran yang mendalam mengenai peri pentingnya kekuatan kesatuan sebuah organisasi yang berdasarkan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.

Selain itu, tembok pemisah antara kelompok mahasiswa yang berkuliah dan berpersatuan hendaklah dirobohkan. Sesungguhnya kita tidak mahu lagi mendengar suara-suara sumbang yang memburukkan mana-mana pihak kerana ianya akan memburukkan dan merobohkan ikatan perpaduan sesama ahli. Bahkan, NAS melalui program-program yang dilaksanakannya sentiasa meletakkan satu objektif yang penting iaitu melahirkan ahli-ahli yang mempunyai ilmu dan thaqafah tinggi di samping mempunyai ilmu-ilmu pengurusan yang mantap. Maka penggabungan antara ilmu, thaqafah dan pengurusan merupakan aspek yang perlu dititikberatkan memandangkan masyarakat kini amat dahagakan mutiara-muatiara ilmu mahasiswa yang cemerlang dan berjaya dalam segenap sudut gerak kerja untuk membimbing mereka ke arah jalan yang diredai Allah S.W.T.

Disamping itu,setiap kita perlu bekerjasama dan sentiasa bertoleransi dalam menghadapi persoalan-persoalam khilaf dan perbezaan di kalangan kita. Jadikanlah sikap berlapang dada dan husnu zan sebagai perhiasan kita. Suka saya perkenalkan kembali kepada kita syiar kita utk sama-sama kita renungi dan fahami,

نَتَعَاوَنُ فِيمَا اتَّفَقْنَا وَنَعْذِرُ بَعْضَنَا بَعْضًا فِيمَا اخْتَلَفْنَا فِيهِ

“Kita berganding bahu pada perkara yang kita sepakati,dan kita bertolak ansur pada perkara yang kita perselisihkan”.

Justeru itu, tidak sewajarnya kita menjadikan perbezaan pendapat dan pandangan dalam soal ijtihadiyyat dan zonniyyat sebagai penyebab untuk timbulnya sikap bermusuhan dan melupakan kewajipan memelihara dan mengeratkan ukhuwwah sesama kita. Satu kisah ibrah yg pernah berlaku di waktu hayat Al-Imam As Syahid Hassan Al-Banna di mana satu ketika beliau melihat dua kumpulan manusia bertengkar tentang bilangan rakaat solat terawih hingga menyebabkan permusuhan, melihat situasi tersebut Al-Imam Hassan Al-Banna menegur sikap mereka dengan berkata:

“Solat terawih itu hanyalah satu perkara sunat, manakala memelihara persaudaraan pula adalah wajib. Apakah kamu sanggup korbankan sesuatu yang wajib hanya kerana sesuatu yang sunat?”

Oleh kerana itu, marilah sama-sama kita tanamkan sifat berlapang dada dan sentiasa memuhasabah diri sendiri. Dr Yusuf Al-Qardhawi menyebut antara sikap tercela yang sering menjangkiti aktivis-aktivis gerakan Islam ialah terlampau ujub dengan diri sendiri dan terlampau mengkritik orang lain(اَلْمُبَالَغَةُ فِي الإعْجَابِ بِالنَّفْسِ وَالْمُبَالَغَةُ فِي النَّقْدِ لِلْغَيْرِ). Justeru, medan muhasabah juga adalah perlu bagi kita selaku aktivis gerakan mahasiwa/wi al-Syariah.

KECEMERLANGAN AKADEMIK SEBAGAI SENJATA UTAMA

Sidang muktamar sekalian,

Kecemerlangan akademik adalah agenda yang tidak boleh dikesampingkan. NAS sebagai kelab mahasiswa jabatan al-Syariah sekali-kali tidak tega untuk mengabaikan aspek akademik malah menjadikannya sebagai keutamaan di dalam setiap tindakan dan gerak kerja. Pandangan yang menjadikan kesibukan berpersatuan sebagai alasan atau penyebab kepada kegagalan adalah satu pandangan yang tidak benar! Budaya malas menghadiri kuliah, bersikap sambil lewa terhadap pelajaran serta kehilangan fokus dan tumpuan untuk menuntut ilmu di bumi KIAS ini tidak harus dibiarkan menjadi polemik yang tidak berkesudahan.

Bagi negara yang sedang membangun seperti Malaysia, sudah pasti memerlukan golongan penerus kepada perubahan semasa. Golongan sarjana agamawan juga tidak terlepas dalam merealisasikan hasrat murni ini. Justeru, perlunya kita berusaha menjadikan kecemerlangan akademik sebagai salah satu elemen penting sebagai mahasiswa mahasiswi Islam.

Bagi saf kepimpinan pelajar pula, sememangnya soal kecemerlangan akademik juga tidak boleh sama sekali diketepikan. Barisan pimpinan perlu menjadi figure-figure yang cemerlang bukan sekadar didalam soal kepimpinan bahkan cemerlang dalam akademik. Ayuhlah kita sama-sama mengambil peluang untuk menimba pengalaman menguruskan kehidupan sebagai pimpinan pelajar, terutamanya daripada barisan pensyarah yang ada di bumi KIAS.

PENUTUP

a) Marilah kita mengurus kelebihan dan kelemahan kita dengan Islam, supaya Islam yang kita perjuangkan itu mampu dilihat sebagai pemandu dalam segala bentuk amalan kita. Kita ingin memimpin perubahan dalam bumi KIAS kita dengan keindahan Islam.

b) Semua ahli dan pimpinan di setiap peringkat perlulah mencari formula dan ruang yang ada untuk menonjolkan kepimpinan Islam dalam segenap segi kehidupan dengan cara yang penuh hikmah dalam menangani harapan masyarakat kampus dan luar kampus dari pelbagai kaum, agama dan budaya serta terus kekal dengan iltizam disiplin yang tinggi supaya tidak goyah oleh perancangan jahat musuh.

d) Marilah kita terus menerus memperkasakan organisasi dan mempersiapkan kepimpinan NAS bagi menangani cabaran persaingan yang semakin sengit dari segi tuntutan intelektual dan mendepani permasalahan semasa dalam konteks mahasiswa, nasional dan global.

e) Marilah kita menampilkan satu imej dan citra NAS sebagai organisasi yang sentiasa bersedia untuk berdepan dengan apa jua cabaran semasa dan mendatang dengan menampilkan satu pendekatan imej yang bersifat “Usuliy” dari segi prinsip-prinsip perjuangan, “Mu’asirah” dari segi kepimpinan dan organisasi, “Istiqbaliy” dari segi persiapan dan kesediaan untuk menggempur senario perjuangan masa akan datang.

Akhir kalam, dalam kesempatan yang ringkas ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ketua Jabatan Al-Syariah, para pensyarah Jabatan Al-Syariah, rakan pimpinan, urusetia program, semua warga kerja NAS dan ahli-ahli NAS atas segala sumbangan dan bakti yang telah dikorbankan mereka. Hanya Allah yang mampu membalasnya. Doa saya semoga kalian dirahmati-Nya di dunia dan di akhirat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan