Isnin, 10 Mei 2010

BEDAH BUKU: Cinta di Langit Gaza, Membenih Pejuang Ummah

KOTA BHARU: Bertepatan 10 Mei 2010, Nadi Al-Syariah (NAS) buat julung-julung kalinya semenjak penubuhan NAS akhir Ramadhan lalu telah pun pada hari ininya menganjurkan program Bedah Buku: Cinta di Langit Gaza bersempena dengan Nakbah Palestin. Ust Riduan Mohamad Nor yang merupakan tokoh penulis yang tidak asing lagi dalam dunia penulisan telah menjadi pilihan utama pihak penganjur dalam mengupas buku “Cinta di Langit Gaza” tulisan beliau sediri. Secara keseluruhannya program ini telah mendapat sambutan yang amat memberangsangkan dengan kepadatan kapsiti hadirinnya yang bukan sahaja dari kalangan warga KIAS bahkan turut dihadiri oleh mahasiswa institusi pengajian tinggi yang lain. Program ilmiah ini telah diserikan lagi dengan persembahan kumpulan nasyid KASTURI dengan dua buah lagu mereka yang pastinya bertemakan Palestin. Ucapan alu-aluan Ust Zulqarnain pada awalnya menekankan kepentingan mahasiswa dalam mengambilpeduli hal ehwal ummah sedunia terutamanya Palestin. Antara kupasan dan pendedahan oleh Ust Riduan Mohamad Nor yang merupakan antara sukarelawan Muslim Care ini telah mengetengahkan pengalaman beliau selama bertugas di Palestin disamping ancaman-ancaman musuh Islam khususnya Israel Laknatullah ke seluruh dunia. Dalam pada itu, kepentingan tindakan bantuan ummah seperti berdoa, menghulurkan bantuan kewangan dan memboikot sebarang produk yang memberi kepentingan kepada Yahudi Laknatullah.






Sabtu, 8 Mei 2010

TEKNIK MENGHAFAL AL-QURAN















Al-Quran merupakan mukjizat nabi Muhammad S.A.W yang kekal hingga ke hari kiamat dan dijamin oleh Allah S.W.T dari sebarang penyelewengan. Setiap muslim yang membaca dan menghafal al-Quran akan beroleh ketenangan dan dikurniakan syafaat di akhirat kelak. Bagi mahasiswa/wi al-Azhar, al-Quran merupakan salah satu madah yang menjadi silibus tahunan bagi pengajian mereka. Oleh sebab itu, Badan Pendidikan dan Komunikasi Bahasa mengambil inisiatif dengan mengeluarkan risalah mengenai teknik menghafaz al-Quran bagi membantu mahasiswa/wi untuk mencapai kecemerlangan dalam madah al-Quran. Antara teknik-teknik menghafaz yang boleh digunakan adalah seperti berikut.



Sebelum Menghafal

1. Mempunyai azam dan minat untuk menghafal
2. Memilih waktu yang sesuai untuk menghafal.
3. Memilih tempat yang sesuai untuk menghafal.
4. Berada dalam keadaan tenang.
5. Kosongkan fikiran sebelum menghafal.
6. Pilih sebuah jenis mashaf dan jangan ubah dengan jenis mashaf lain.
7. Beristighfar, membaca selawat dan doa sebelum mula menghafal.
8. Membaca ayat 164 surah Al-Baqarah sebelum mula menghafal.

A. Teknik "Chunking"
1. Memisah-misahkan sepotong ayat yang panjang kepada beberapa bahagian yang sesuai mengikut arahan guru.
2. Memisah-misahkan selembar mukasurat kepada beberapa bahagian (2 atau 3 bahagian) yang sesuai.
3. Memisah-misahkan surah kepada beberapa bahagian, contohnya mengikut pertukaran cerita.
4. Memisah-misahkan juz kepada beberapa bahagian mengikut surah, hizib, rubu', cerita dan sebagainya.
5. Memisah-misahkan Al-Qur'an kepada kelompok surah, setiap 10 juz dan sebagainya.

B. Teknik "Mengulang"
1. Membaca sepotong atau sebahagian ayat sekurang-kurangnya lima kali sebelum mula menghafalnya.
2. Membaca ayat yang telah dihafal berulang-ulang kali (10 atau lebih) sebelum berpindah ke ayat seterusnya.
3. Selepas menghafal setiap setengah mukasurat, harus diulang beberapa kali sebelum diteruskan bahagian yang kedua.
4. Selepas menghafal satu mukasurat diulang beberapa kali sebelum diteruskan ke muka surat seterusnya.
5. Sebelum menghafal bahagian Al-Qur'an seterusnya, harus diulang bahagian yang sebelumnya.

C. Teknik "Tumpu" dan "Ingat"
1. Menumpukan penglihatan kepada ayat, mukasurat dan lebaran.
2. Pejamkan mata dan cuba melihatnya dengan minda.
3. Sekiranya masih lagi kabur, buka mata dan tumpukan kembali kepada mashaf.
4. Ulanglah sehingga dapat melihat ayat atau mukasurat tersebut dengan mata tertutup.

D. Teknik Menghafal Dengan Seorang Teman
1. Pilih seorang teman yang sama minat.
2. Orang yang pertama membaca dengan disemak oleh orang yang kedua.
3. Orang yang kedua membaca dengan disemak oleh orang yang pertama.
4. Saling menebuk ayat antara satu sama lain.

E. Teknik Mendengar Kaset
1. Pilih seorang qari' yang baik bagi seluruh Al-Qur'an atau beberapa qari' bagi surah-surah tertentu.
2. Sebelum mula menghafal, dengar bacaan ayat-ayat yang ingin dihafal beberapa kali.
3. Amati cara, lagu dan tempat berhenti bacaan qari' tersebut sehingga terpahat di fikiran.
4. Mula menghafal ayat-ayat tersebut dengan cara dan gaya qari' tersebut.
5. Sentiasa mendengar kaset bacaan Al-Qur'an dan kurangkan atau tinggalkan pendengaran lagu kerana ia akan mengganggu penghafalan.

F. Teknik Merakamkan Suara
1. Rakamkan bacaan kita di dalam kaset dan dengar semula untuk memastikan bacaan dan hafalan yang betul.
2. Bagi kanak-kanak, rakamkan bacaan ibu-bapa atau guru kemudian diikuti oleh bacaan kanak-kanak tersebut. Minta kanak-kanak tersebut mendengar kembali rakaman tersebut beberapa kali hingga menghafalnya.

G. Teknik Menulis
1. Tulis kembali mukasurat yang telah dihafal.
2. Kemudian semak semula dengan mashaf.
3. Menulis setiap ayat pertama awal mukasurat, atau setiap rubu', atau setiap juz, atau setiap surah dalam satu helai kertas.

H. Teknik "Pointers" dan "Keyword"
1. Buat beberapa kotak.
2. Setiap kotak merupakan satu mukasurat.
3. Catit dalam kotak tersebut beberapa perkataan yang menjadi keyword bagi mukasurat tersebut.
4. Merenung dan membayangkan kotak tersebut dalam ingatan.

I. Teknik Menghafal Sebelum Tidur
1. Membaca atau menghafal beberapa potong ayat sebelum tidur.
2. Semasa melelapkan mata, dengar kaset bacaan ayat-ayat tersebut dan bayangkan posisi-nya di minda kita.
3. Dengar kembali dari awal surah, juz atau hizib, atau mana-mana yang sesuai sehingga ayat yang telah dihafal. Cuba bayangkan ayat-ayat yang didengar dari kaset di minda kita.

J. Teknik "Mindmaping"
1. Bagi setiap Juz, buat 8 cabang, setiap cabang satu rubu'. Tulis ayat pertama rubu' tersebut dicabangnya.
2. Bagi setiap surah, buat cabang bagi setiap pertukaran cerita atau rubu'.
3. Bagi setiap 10 juz, buat cabang bagi setiap juz, dan cabang yang lebih kecil bagi rubu'.


Mengekalkan Hafalan

1. Jauhi maksiat mata, maksiat telinga dan maksiat hati.
2. Banyak berdoa, terutama waktu mustajab doa seperti ketika berbukapuasa, ketika belayar, selepas azan dan lain-lain lagi.
3. Kerjakan solat hajat kepada Allah.
4. Kerjakan solat Taqwiyatul hifz.
5. Menetapkan kadar bacaan setiap hari, contohnya, selembar, setengah juz, 1 juz dan sebagainya.
6. Membaca pada waktu pagi dan mengulangnya pada waktu malam.
7. Jangan membaca ketika sedang bosan, marah atau mengantuk.
8. Menulis setiap ayat yang mutashabih.

Disediakan oleh :

Badan dan Unit Pendidikan & Komunikasi Bahasa

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) 2010



Dipetik daripada HEWI PMRAM


Jumaat, 7 Mei 2010

Beza Akaun Islam Dan Konvensional Dalam Konteks Semasa

( Artikel ini telah di terbitkan di Akhbar Metro Ahad 4 Jun 2006 )

Oleh
Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman

Kita telah mengenali Riba kontemporari dalam produk pinjaman pelbagai dalam penulisan yang lalu, kali ini kita meninjau bentuk Riba kontemporari yang seterusnya dalam produk akaun pelaburan dan simpanan pula.

Bagi menjelaskan bentuk kedua bagaimana riba berlaku, contohnya adalah seperti berikut :-

Ia berlaku apabila pelanggan meletakkan wangnya di dalam akaun :-

1) Akaun Pelaburan Dengan Pulangan Tetap (Fixed Deposit account).

2) Akaun Simpanan Biasa (Ordinary Saving account).

Akaun Pelaburan Dengan Pulangan Tetap (Fixed Deposit account).

Dalam akaun jenis pertama ini, Individu A meletakkan wangnya di dalam “conventional fixed deposit account”. Menurut kontrak dan perjanjian yang di tandatangani, pihak pengendali/Bank akan mengumpulkan wang individu A tadi bersama dengan wang depositor atau pelabur lain. Kemudian, kumpulan wang itu akan digunakan samada bagi pelaburan wang terus ke dalam mana-mana syarikat yang kukuh bagi mendapatkan pulangan yang baik ataupun digunakan untuk memberikan pinjaman secara riba kepada syarikat-syarikat yang datang kepada Bank untuk tujuan perniagaan mereka, samada perniagaan itu halal mahupun haram.

Sebagai imbalan kepada para pelabur atau penyimpan, pihak bank akan menetapkan kadar faedah tertentu (fixed interest) sebagai contoh 3 % untuk diberikan kepada penyimpan @ pelabur (tambahan ke atas wang modalnya) bagi suatu tempoh selama matang antara 1 – 11 bulan, kadar faedah adalah menurut budibicara pihak pengurusan bank. Pada kebiasaannya Bank telah pun membuat kira-kira bagi menentukan kadar interest yang ingin diberinya.

Ingin ditegaskan di sini bahawa, menurut Shariah, kadar 3 % dari “fixed deposit account” tadi adalah Riba Ad-Duyun dari jenis Al-Qard. Ini adalah kerana, disiplin pelaburan ( iaitu Mudarabah atau Musyarakah) menurut Islam, pulangan keuntungan tidak boleh di tentukan sama sekali peratusannya. Hanya nisbah pembahagian keuntungan yang dibenarkan. Seperti 70 : 30 ( Bank : pelanggan).

Akaun Simpanan Biasa (Ordinary Saving account).

Manakala dalam Akaun Simpanan Konvensional (Ordinary Savings Account) pula. Sekali lagi terdapat Riba secara pasti. Ini kerana bank akan memberikan kadar faedah tetap sekitar 0.1-0.2 %. Dalam keadaan ini, Bank pula dikira meminjam wang dari pelanggan untuk digunakan bagi tujuan pelaburan kecil-kecilan, dan si pelanggan di anggap seolah-olah telah menawarkan pulangan tetap atas pinjaman (simpanan) yang diberikan oleh pelanggan kepada Bank itu, hasilnya; Bank mesti membuat pembayaran tambahan (faedah) menurut kadar yang telah di tetapkan tadi walau dalam keadaan apa sekalipun. Sekiranya Bank mendapat untung yang amat lumayan hasil penggunaan wang simpanan tadi, bank tetap hanya perlu membayar kadar kecil tadi, maka pelanggan pastinya dikira rugi. Sebaliknya, sekiranya bank menghadapi kerugian, Bank tetap perlu membayar kadar interest itu tanpa mengira sama ada ia akan menambah beban kerugiannya atau tidak. Maka, kerugian Bank pasti bertambah dan membebankan.

Justeru, penindasan berlaku dalam kedua-dua bentuk simpanan dan pelaburan konvensional di atas, sama ada kepada bank (apabila rugi tapi perlu membayar faedah Riba) atau pelanggan (apabila untung tapi hanya mendapat nisbah kecil).

Dalam pengurusan akaun secara Islam, suasananya adalah berbeza sama sekali, dimana semua pelanggan yang menyimpan wang di Islamic Akaun Islam ini boleh memilih sama ada ingin menggunakan:-

a) Akaun Simpanan atas asas Wadi’ah (simpanan biasa tanpa menggunakan konsep mudharabah);

Dalam kontrak ini, pihak bank akan memastikan semua jumlah wang simpanan pelanggan adalah sentiasa selamat dan boleh di keluarkan pada bila-bila masa oleh pelanggan. Bagi memanfaatkan dan menanggung kos pengurusan simpanan ini, pihak pengurusan Bank-bank Islam biasanya akan menggunakan wang tersebut untuk tujuan pelaburan yang halal sahaja, tetapi pihak Bank akan menjamin pelanggan boleh mengeluarkan wnagnya pada bila-bila masa serta akan menanggung segala kerugian jika berlaku. Sebagai menghargai pelanggan yang menyimpan wang ini sehingga membolehkan pihak Bank menjalankan operasi ekonomi dan perniagaan Islam, maka jika terdapat untung, pihak Bank akan memberikan hibah (hadiah sejumlah wang) kepada penyimpan sebagai tanda penghargaan.

Bagaimanapun jumlah dan kadar hibah adalah terpulang kepada budibicara bank sepenuhnya, cuma ia mungkin berubah-ubah menurut prestasi pelaburan yang dibuat oleh Bank. Sekiranya hasil pelaburan menggalakkan, maka kebiasaannya penyimpan akan di beri “hibah” yang agak baik. Jika pelaburan mengalami kerugian, pihak penyimpan tidak akan mendapat sebarang hibah, wang simpanan mereka juga tidak akan berkurangan. Ini lebih adil kerana :-

· Pelanggan berpeluang mendapat hibah dalam keadaan wang simpanannya terjamin/tanpa risiko hasil pelaburan. Jumlah dan kadar hibah adalah sepenuhnya terpulang kepada budibicara bank. Bagaimanapun, biasanya pihak bank akan memberikan kadar hibah yang tinggi sedikit jika keuntungan diperolehi, demi menggalakkan minat pelanggan.

· Bank juga tidak terpaksa membayar apa-apa kepada pelanggan jika tiada keuntungan. Justeru bank tidak teraniaya sama sekali berbanding Bank Konvensional.

· Tiada sebarang Riba terbabit di dalam akaun ini dan semua pelaburan yang dibuat adalah setelah dipastikan memenuhi kehendak Shariah.

b) Akaun Simpanan atas asas Mudarabah (perkongsian untung):

Satu lagi produk di dalam pengamalan kewangan Islam di Bank-bank Islam adalah simpanan yang menggunakan konsep Mudharabah. Ia bermaksud pihak pelanggan ingin menyimpan wangnya sambil membuat pelaburan secara khusus. Nama produk-produk untuk akaun ini seperti “ Akaun Pelaburan Umum Mudarabah” atau “Akaun Pelaburan Istimewa Mudarabah” atau “ Akaun Semasa Mudarabah”.

Menurut konsep ini pelanggan bersedia menerima risiko lebih bagi membuka ruangnya bagi mendapat peratusan keuntungan yang lebih besar sekiranya pihak Bank berjaya melaburkan wang dengan pulangan lumayan. Kadar peratusan akan di tetapkan di peringkat awal seperti 70 % untuk pelanggan dan 30 % bank, 80/20, 60/40 dan sebagainya.

Satu perkara yang juga amat penting dalam akaun Islam ini adalah, deposit yang terkumpul hanya akan dilaburkan untuk membiayai syarikat-syarikat yang telah di tapis secara Shariah oleh pengurusan bank dan majlis Penasihat Shariah Bank. Justeru semua “Shariah-Approved companies” ini telah di pastikan dengan teliti ketepatannya dari sudut Shariah, justeru semua keuntungan yang bakal di perolehi adalah harta yang bersih.

RHB Islamic Bank Berhad sebagai contoh, cukup tegas dalam memastikan semua simpanan yang diperolehi akan digunakan dan dilaburkan ke dalam urusniaga atau syarikat yang benar-benar selamat menurut Shariah.

Urusan tapisan dibuat secara terperinci, dan perlaksanaannya dibuat dalam suasana “client-friendly”, iaitu dengan perbincangan yang cukup telus atau “transparent” dengan “client”. Ia mungkin akan membuat penilaian dari sudut “asset” mahupun “lialibilities” sesebuah syarikat, tanpa mengira ianya adalah sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Saham atau tidak. Secara umum penapisan “filter” Shariah berikut biasanya digunakan antaranya :-

i- Industry filtering (membuang syarikat-syarikat yang perniagaan induknya berkaitan produk-produk haram)

ii- Primary Financial Filters (mengeluarkan syarikat-syarikat yang tahap hutangnya tidak boleh ditoleransi lagi atau mempunyai “impure interest income” berdasarkan panduan Majlis Penasihat Shariah )

Pengamalan akaun di Perbankan konvensional amat berbeza, yang mana ia tidak terikat dengan konsep Shariah, lalu mereka pasti akan menumpukan pelaburan di dalam syarikat yang boleh memberi pulangan besar tanpa meninjau aspek penerimaan Shariah atau tidak.

Selain itu, pembaca mestilah tidak terkeliru dengan kadar peratusan yang di paparkan oleh sesetengah akauan Islam mudarabah di sesetengah Bank Islam. Ia hanyalah kadar pulangan purata menurut prestasi lepas, ia di gelar “indicavtive Rates” atau “kadar andaian dan ramalan” dan bukannya kadar yang tepat dan mesti diberikan oleh bank, ia di paparkan demi mencapai keyakinan pelanggan terhadap prestasi pengurusan dan pelaburan Bank.

Cara kiraannya yang telah dipermudahkan adalah seperti berikut :-


Cara Kiraan :-

Untung Sebenar = Kadar Pulangan (ROR) x Kadar Keuntungan (PSR) = Keuntungan setahun 100

Katakanlah kadar keuntungan bank adalah 3, justeru “indicative” atau andaiannya seperti berikut :-3 X 70 (pelanggan) = 2.10100


Maka, jumlah 2.10 % inilah yang akan di paprkan oleh Bank bagi memaparkan prestasi akan datang Bank. Ia hanyalah andaian dan tidak menjadi kewajiban bagi Bank memberikan pulangan dengan kadar di atas.

Perlulah sedari, seseorang yang menyimpan atau melabur wangnya di dalam akaun di bank konvensional pastinya akan mendapat saham keburukan hasil sokongan langsungnya dari wang depositnya itu, sama ada mereka menyedarinya atau tidak.