Ahad, 12 September 2010

TIPS MUDAH MENGINGATI ILMU

Ustaz, kenapa susah nak ingat bila menghafal ?

Saya dah hafal la ustaz, tapi lupa!.

Ucapan begini biasa dijawab oleh pelajar bila disoal makna sesuatu perkataan Bahasa Arab. Tips kali ini akan diterangkan teknik-teknik untuk mengingati sesuatu hafalan. Tips ini umum untuk semua subjek yang memerlukan pelajar mengingati sesuatu ilmu. Bukan terhad subjek Bahasa Arab sahaja.

Allah mengurniakan tahap kecerdasan akal fikiran yang berbeza-beza kepada manusia. Ada yang kuat ingatan, ada yang sederhana dan ada yang lemah. Pelajar yang bijak dan kuat ingatan memadai dengan hanya P&P dalam kelas telah menguasai sesuatu ilmu dengan baik. Itu adalah kurniaan Allah kepadanya dan amat jarang yang mendapat kelebihan seperti ini pada masa kini. Kebiasaannya pelajar memerlukan kepada ulangkaji yang berulang kali baru dapat menguasainya.

Kebanyakan pelajar biasanya berdepan dengan masalah sukar untuk mengingati ilmu yang dipelajari. Perkara yang perlu dilakukan oleh pelajar untuk mengatasi masalah ini ialah ;

PERTAMA : Menghindarkan diri daripada sebarang dosa. Dosa yang dilakukan mengakibatkan hati menjadi hitam. Inilah hijab yang menghalang untuk mendapat ilmu. Seorang pelajar hendaklah sentiasa menghindarkan diri daripada sebarang dosa agar ilmu mudah diperolehi. Terdapat pelajar yang boleh mengingati isi kandungan yang diajar oleh gurunya walau pun tidak mengulang kaji pada waktu lain. Kenapa ?. kerana hatinya suci bersih dan berkat.

KEDUA : Tingkatkan amalan kerohanian dan amal soleh untuk membersihkan hati dan untuk memperolehi keberkatan daripada Allah SWT. Sentiasa menjaga solat fardu, menunaikan solat-solat sunat, berzikir, membaca al-Quran setiap hari dengan perhatikan makna-maknanya. Amalan-amalan soleh ini akan mencapai keberkatan daripada Allah SWT dalam menuntut ilmu.

KETIGA : Menghafal dalam keadaan fizikal yang sejahtera dan segar, minda yang lapang dan rehat. Mengingati sesuatu merupakan proses yang berat ditanggung oleh akal. Ia memerlukan tenaga yang sempurna daripada tubuh badan yang cergas. Proses mengingati ilmu akan menjadi sukar bila fizikal dalam keadaan letih seperti mata yang mengantuk dan sebagainya. Sekiranya anda dalam keadaan begini dinasihatkan melakukan perkara yang lebih ringan seperti menyalin nota atau membuat latihan-latihan mudah. Kalau menghafal pun hanya akan membuang masa. Dapatkan rehat yang secukupnya untuk mengembalikan kecergasan. Rehat yang terbaik ialah tidur yang mencukupi dan waktu minda yang lapang ialah selepas bangkit dari tidur. Sebab itu kita dapati ramai pelajar yang cemerlang memanfaatkan masa pada awal pagi untuk mengulang kaji dan menghafal pelajaran.

KEEMPAT : Memberi tumpuan sepenuhnya semasa menghafal. Terdapat pelajar yang menghafal sambil mendengar muzik, menonton tv, menghantar sms dan lain-lain lagi. Kalau begini caranya menghafal sampai dua jam pun, dijamin gagal mengingatinya dengan sempurna. Kita hendaklah benar- benar fokus perkara yang ingin diingati tanpa memikirkan perkara lain. Allah jadikan akal manusia tidak dapat fokus terhadap dua perkara dalam satu masa. Ini adalah fitrah kejadian manusia. Walau pun tidak dinafikan terdapat pelajar yang dapat mengulang kaji pelajaran sambil mendengar muzik dan sebagainya. Ulangkaji dan menghafal adalah dua perkara yang berbeza.

KELIMA : lafazkan hafalan anda sehingga didengari oleh telinga anda sendiri. Bila mulut yang menyebut, telinga yang mendengar dan mata yang memandang akan memudahkan akal menerima hafalan tersebut berbanding menghafal tanpa bersuara. Kenapa anda dapat mengingati lagu Inggeris dan Hidustan?. Jawapannya ialah kerana biasa mendengar berulang kali. Inilah kehebatan nikmat mendengar yang merupakan salah satu sumber ilmu.

KEENAM : Ulangi hafalan anda sehingga benar-benar mantap. Tiada had berapa kali yang perlu diulang. Selagi hafalan masih samar dan kabur, ulangi berulang kali. Jangan rasa jemu dan mudah berputus asa. Lebih memudahkan untuk mengingati bila difahami kandungan yang dihafal. Contohnya kita mampu mengingati ayat al-Quran yang dihafal tapi lebih mudah kita mengingatinya dengan difahami makna ayat-ayat tersebut.

KETUJUH : Tulis perkara yang anda hafal tanpa melihat teks. Perkara ini penting untuk memastikan ingatan anda benar-benar mantap atau sebaliknya. Ia juga baik untuk mengelakkan berlaku kesilapan bila menjawab soalan yang sebenar. Semak hafalan yang ditulis tadi dengan teks sebenar. sekiranya terdapat kesilapan, ulangi menghafal sekali lagi sehingga benar-benar diingati .

KELAPAN : Istiqamah dalam menghafal. Untuk mengingati ilmu adalah mustahil hanya dengan sekali hafalan. Hafalan secara berkala dan sistematik perlu dipraktikkan setiap masa. Hafalan boleh dikategorikan kepada dua jenis iaitu hafalan baru dan hafalan lama. Ilmu yang telah diingati jangan dibiarkan begitu sahaja. Ia perlu di‘refresh’ secara berkala bergantung kepada sejauh mana kemantapan sesuatu hafalan. Jangan sia-siakan masa yang telah dihabiskan untuk mengingatinya, kemudian dibiarkan lupa begitu sahaja. Kesimpulannya, hendaklah disediakan jadual pembelajaran untuk membahagikan masa antara hafalan baru dan ‘refresh’ hafalan lama.

KESEMBILAN : Semak hafalan anda dengan rakan yang lain. Amalan ini amat praktikal untuk memantapkan sesuatu hafalan berbanding menghafal bersendirian. Bagi mata pelajaran Bahasa Arab, memperdengarkan dan mendengar soalan dari pihak lain amat mustahak untuk melatih pelajar menguasai kemahiran mendengar dan kemahiran bertutur. Dengan ini pelajar dapat membiasakan diri bertutur dengan Bahasa Arab dengan lancar dan fasih. Sekurang-kurangnya pelajar tidaklah kekok dan pelik bila menghadapi ujian syafawi ( lisan) kelak.

KESEPULUH : Tampal nota atau bahan yang penting di tempat yang biasa dan kerap dilihat. Ini bertujuan memantapkan hafalan yang penting seperti formula sains atau matematik. Bila diyakini mantap, gantikan dengan nota yang lain. Buangkan gambar-gambar artis kesayangan atau poster yang tidak berfaedah. Hiasi bilik ‘study’ anda dengan perkataan, formula dan ilmu yang bermanfaat.

KESEBELAS : Tips yang terakhir ialah doa dan tawakkal. Pastikan setiap usaha yang anda lakukan seiring dengan pergantungan dan penyerahan diri kepada Allah Yang Maha Pengurnia. Dialah yang menguatkan ingatan, Dialah yang Melupakan. Semuanya dalam KekuasaanNya. Oleh itu, setiap kali sama ada sebelum atau selepas menghafal panjatkan doa kepadaNya tanpa rasa jemu. Yakinlah bahawa doa anda itu akan diterima dan sentisa berbaik sangka dengan Allah. Sekurang-kurangnya anda akan mendapat pahala kerana doa itu adalah satu ibadat. Tidak akan rugi dan menyesal seseorang yang banyak berdoa di akhirat kelak.

Mudah-mudahan sebelas tips yang dinyatakan ini dapat dijadikan panduan dan semoga membantu anda mengingati ilmu yang dipelajari walau pun teknik dan pendekatan belajar berbeza-beza di kalangan pelajar.

WALLAHU TA’ALA A’LAM


dipetik daripada halaqah.net

Sabtu, 11 September 2010

Penjelasan Solat Jumaat pada Hari Raya Aidlilfitri


بسم الله الرحمن الرحيم، الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله، وبعد.
Soalan: “Apakah benar jika hari raya jatuh pada Hari Jumaat maka sesiapa yang telah menunaikan Solat Hari Raya tidak wajib lagi untuk menunaikan Solat Jumaat?

Dalam persolan ini terdapat beberapa hadis yang diriwayatkan dari Rasulullah saw;
Pertama: Hadis Zaid bin Arqam
عَنْ إِيَاسِ بْنِ أَبِي رَمْلَةَ الشَّامِيِّ قَالَ: شَهِدْتُ مُعَاوِيَةَ بْنَ أَبِي سُفْيَانَ وَهُوَ يَسْأَلُ زَيْدَ بْنَ أَرْقَمَ قَالَ: أَشَهِدْتَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِيدَيْنِ اجْتَمَعَا فِي يَوْمٍ؟ قَالَ: نَعَمْ، قَالَ: فَكَيْفَ صَنَعَ؟ قَالَ: صَلَّى الْعِيدَ ثُمَّ رَخَّصَ فِي الْجُمُعَةِ. فَقَالَ: ((مَنْ شَاءَ أَنْ يُصَلِّيَ فَلْيُصَلِّ). رواه أبو داود (1590)،
Muawiah bin Abi Sufyan bertanya kepada Zaid bin Arqam r.a: Pernahkah awak meyaksikan hari raya yang terkena pada hari Jumaat pada zaman Rasulullah SAW? Jawabnya: Ya! Kata Muawiah: Bagaimana Rasulullah melakukannya? Kata Zaid: Nabi SAW melaksanakan solat Eid (pada suatu hari Jumaat) kemudian Baginda memberikan rukhshah (kemudahan/keringanan) dalam solat Jumaat dengan bersabda: “Barangsiapa yang mahu solat (Jumaat), hendaklah dia solat.” [HR. Al-Khamsah, kecuali At Tirmizi. Hadis ini ditashih oleh ramai ulama’].

Kedua: Hadis Abu Hurairah:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ: ((قَدْ اجْتَمَعَ فِي يَوْمِكُمْ هَذَا عِيدَانِ فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنْ الْجُمُعَةِ، وَإِنَّا مُجَمِّعُونَ)) رواه أبو داود رقم: 1073.
Sabda Nabi saw: “Telah berkumpul pada hari kamu ini dua hari raya, sesiapa yang mahu memadailah baginya solat hari raya bagi solat Jumaat (tidak wajib Jumaat), adapun kami (Nabi SAW) akan menunaikan (juga) solat Jumaat” [Riwayat Abu Daud, Ahmad, Ibn Majah. Dinilai sahih oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Zahabi. Al-Albani juga menyatakan sahih].

Ketiga: Hadis Abdullah bin Abbas.
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ: ((اجْتَمَعَ عِيدَانِ فِي يَوْمِكُمْ هَذَا، فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنْ الْجُمُعَةِ، وَإِنَّا مُجَمِّعُونَ، إِنْ شَاءَ اللَّهُ)). رواه ابن ماجة رقم: 1311.
Sabda Nabi Saw: “Telah berkumpul dua hari raya pada hari kamu ini, sesiapa yang mahu memadailah baginya solat hari raya bagi solat Jumaat (tidak wajib Jumaat), adapun kami (Nabi s.a.w) akan menunaikan (juga) solat Jumaat, Insya’Allah”. [HR: Ibnu Majah]

Keempat: Hadis Abdullah bin Umar.
عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ: اجْتَمَعَ عِيدَانِ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى بِالنَّاسِ، ثُمَّ قَالَ: ((مَنْ شَاءَ أَنْ يَأْتِيَ الْجُمُعَةَ فَلْيَأْتِهَا)) وَمَنْ شَاءَ أَنْ يَتَخَلَّفَ فَلْيَتَخَلَّفْ)) رواه ابن ماجه رقم: 1313.
Katanya: “Telah berkumpul pada suatu ketika dua hari raya pada zaman Rasulullah saw, maka Baginda telah menunaikan solat hari raya bersama sahabat, kemudian bersabda: “Sesiapa yang mahu datang solat Jumaat, boleh datang dan sesiapa tak mahu pun boleh” [HR: Ibnu Majah]

Para ulama berbeza pendapat mengenai hukum solat Jumaat yang jatuh bertepatan dengan hari raya, sama ada ‘Idul Fitri mahupun ‘Idul Adha.
Pertama, solat Jumaat tidak gugur dari penduduk kota (ahlul Balad/ahlul madinah) yang di tempat mereka memang diadakan solat Jumaat. Sedang bagi orang yang datang dari kampung yang jauh atau pendalaman (ahlul Qura / badawi), yang di tempat mereka itu tidak dilaksanakan solat Jumaat, gugur kewajiban solat Jumaatnya. Jadi jika mereka –yakni orang yang datang dari kampung yang jauh- setelah solat hari raya, mereka boleh terus pulang, tanpa menunggu untuk mengikuti solat Jumaat pula.

Inilah pendapat Imam Syafi’i. Ini juga pendapat Usman dan Umar bin Abdul Aziz dan Jumhur Ulama’.

Secara dasarnya, Imam Shafie tetap mewajibkan solat Jumaat yang jatuh pada hari raya. Namun beliau menetapkan kewajipan tersebut terhadap penduduk kota (terdapat kemudahan masjid). Bagi penduduk desa atau kampung pendalaman yang berkunjung ke kota khas untuk solat hari raya (dan solat Jumaat), dan di tempat mereka tidak dilaksanakan solat Jumaat, maka mereka dibenarkan untuk tidak mengerjakan solat Jumaat. [Majmu’: 4/320]

Kedua, solat Jumaat tetap wajib ditunaikan, baik oleh penduduk kota yang didirikan solat Jumaat mahupun oleh penduduk yang datang dari kampung.
Ini pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Malik. Jadi, solat Jumaat tetap wajib dan tidak gugur dengan ditunaikannya solat hari raya.

Ketiga, tidak wajib solat Jumaat baik bagi orang yang datang dari kampung mahupun bagi orang bandar yang dekat dengan tempat solat Jumaat. Tetapi mereka wajib solat Zuhur, kecuali Imam (wajib ke atasnya mendirikan Jumaat). Demikian pendapat Imam Ahmad.

Keempat, Zuhur dan Jumaat sama-sama gugur kewajibannya pada hari itu. Jadi setelah solat hari raya, tak ada lagi solat sesudahnya selain solat Asar. Demikian pendapat ‘Atha` bin Abi Rabah. Dikatakan, ini juga pendapat Ibnu Zubair dan ‘Ali ra.


Dalil Mazhab Jumhur (kebanyakkan ulama’):

1- Umum Ayat Al-Quran: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)” [Al-Jumu’ah:9].

2- Demikian juga hadis-hadis yang menyuruh supaya bersolat Jumaat.

3- Jumaat dan Solat Eid adalah dua solat yang berasingan, maka tidak gugur dengan melakukan salah satu dari keduanya, seperti solat Eid dan Zuhur.

4- Sayyidina Osman ra dalam khutbah hari raya yang jatuh pada hari Jumaat …kepada penduduk ‘Aliyah (pendudut sebelah timur Madinah): “Sesiapa yang mahu tunggu solat Jumaat, boleh tunggu, sesiapa yang ingin balik, boleh balik..) [HR: Bukhari]
قَالَ أَبُو عُبَيْدٍ: ثُمَّ شَهِدْتُ الْعِيدَ مَعَ عُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ فَكَانَ ذَلِكَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ، فَصَلَّى قَبْلَ الْخُطْبَةِ، ثُمَّ خَطَبَ فَقَالَ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ هَذَا يَوْمٌ قَدْ اجْتَمَعَ لَكُمْ فِيهِ عِيدَانِ، فَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَنْتَظِرَ الْجُمُعَةَ مِنْ أَهْلِ الْعَوَالِي فَلْيَنْتَظِرْ، وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَرْجِعَ فَقَدْ أَذِنْتُ لَهُ)) [رواه البخاري، بَاب مَا يُؤْكَلُ مِنْ لُحُومِ الأَضَاحِيِّ وَمَا يُتَزَوَّدُ مِنْهَا]

Dalil Mazhab Hanafi: Berpegang dengan kewajipan asal fardhu Solat Jumaat.
Dalil Mazhab Hambali: Hadis-hadis di atas.

Berdasarkan pendapat-pendapat di atas, dapat disimpulkan bahawa pendapat jumhur berpegang kepada dalil umum dan pendapat Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah adalah berpegang pada dalil yang khusus.


Perinciannya hukumnya adalah seperti berikut:

Hukum pertama, jika seseorang telah menunaikan solat hari raya - yang jatuh bertepatan dengan hari Jumaat - gugurlah kewajiban atasnya untuk menunaikan solat Jumaat. Dia boleh melaksanakan solat Jumaat dan boleh juga tidak. [Pendapat Mazhab Hambali]

Hukum kedua, bagi mereka yang telah menunaikan solat hari raya tersebut, lebih utama dan disunnahkan tetap melaksanakan solat Jumaat. Dalilnya adalah hadis Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi SAW bersabda: “Innaa mujammi’uun” (Sesungguhnya kami akan mengerjakan Jumaat). Ini menunjukkan bahawa walaupun Nabi SAW menjadikan solat Jumaat sebagai rukhshah, yakni boleh dikerjakan dan boleh tidak, akan tetapi Nabi Muhammad SAW faktanya tetap mengerjakan solat Jumaat.

Hukum ketiga, jika orang yang telah menunaikan solat hari raya tersebut memilih untuk tidak menunaikan solat Jumaat, wajib melaksanakan solat Zuhur, tidak boleh meninggalkan Zuhur.
Hukum keempat, mereka yang pada pagi harinya tidak melaksanakan solat hari raya, wajib ke atasnya untuk menunaikan solat Jumaat, tidak dibenarkan baginya untuk meninggalkan solat Jumaat.



Kesimpulannya,

Pendapat jumhur yang membezakan antara warga bandar dengan orang yang jauh dari tempat solat Jumaat didirikan adalah wajar diambil kira, kerana ulama’ telah meletakkan suatu kaedah: “Keluar daripada khilaf (perselisihan pandangan) di kalangan ulama, adalah lebih afdhal” oleh itu bagi mereka yang tidak mempunyai sebarang kesukaran untuk hadir ke masjid hendaklah tetap menunaikan solat Jumaat pada hari tersebut, bagi sesiapa yang mempunyai masyaqqah (kesusahan) untuk kembali semula ke tempat Jumaat memadailah dengan melakukan solat Zuhur.
Demikian juga waqi’ atau realiti rakyat Malaysia yang berpegang dengan mazhab al-Syafie (secara resminya) adalah tidak gugur kefarduan Jumaat sekiranya hari raya jatuh pada hari Jumaat. Keizinan yang diberi oleh Imam al-Syafie kepada penduduk yang berjauhan dari masjid adalah dengan tujuan tidak membebankan mereka, sedangkan mereka terpaksa keluar dua kali untuk ke masjid. Di negara kita keadaannya sangat berlainan, kita tidak menghadapi kesukaran untuk ke masjid, manakala masjid pun tidak sejauh mana dari rumah.
Satu lagi yang perlu diperhatikan ialah, masyarakat yang tidak mengetahui hukum dan dalil dalam masalah ini akan memandang serong dan pelik jika ada sekumpulan kaum lelaki yang tidak pergi menunaikan solat Jumaat, ini akan menimbulkan kecelaruan dan salah faham.
Pengalaman ana berada di Tanah Haram, yang berpegang secara rasmi dengan mazhab Hambali, dua Masjid Haram tetap melakukan solat Jumaat, adapun masjid-masjid lain disekitarnya, (yang masyarakatnya sudah biasa dengan hukum itu) ada yang melakukan solat Zuhur berjamaah seperti biasa. Wallahu a’lam.
Rujukan:
Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, Imam An-Nawawi. 4/319-321, cet, Dar al-Ulum, Mesir.
Al-Mughi, Ibn Qudamah. 3/242. Cet, 5. 1426H. Dar Alam Al-Kutub, Riyadh.
Akhukum.

Abu Anas Madani, Pondok Sg Durian.
29 Ramadhan 1431H – 8 Sep 2010.
www.abuanasmadani.com

*Penulis juga merupakan pensyarah Jabatan Al-Syariah KIAS