Rabu, 7 September 2011

Bicara Ilmiah: Brain Death Menurut Perspektif Syarak



Tahniah diucapkan kepada semua ahli jawatankuasa NAS, terutamanya unit bicara ilmiah yang telah menganjur bicara ilmiah yang bertajuk Brain Death Menurut Perspektif Syarak. Maklumat untuk semua ahli, bicara ilmiah kali ini adalah yang pertama bagi Semester Jun 2011 ini. Tambahan pula ianya adalah bicara ilmiah yang pertama dianjurkan oleh Kepimpinan NAS Sesi 2011/2012. Bicara Ilmiah yang dipengerusikan oleh Saudara Mohd Faizuddin Mat Rashidi itu telah dibentangkan oleh Al-Fadhil Ustaz Mohd Asri bin Mad Daud. Bicara Ilmiah yang telah membincangkan hukum mengenai brain death berdasarkan fiqh perubatan ini telah diwajibkan penyertaannya untuk semua mahasiswa Jabatan Al-Syariah. Pihak NAS begitu komited dalam melahirkan generasi faqih berjiwa daei. Hal ini selaras dengan moto yang diamalkan oleh NAS. Terima kasih juga diucapkan kepada semua mahasiswa yang sudi hadir ke bicara ilmiah tersebut. Nantikan bicara ilmiah yang lain pada masa hadapan dalam mengupas isu-isu yang menarik.



Berniaga Itu Satu Sunnah


Bagi menegakkan sunnah yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW kepada kita, pihak jawatankuasa NAS telah mengambil inisiatif dengan membuka gerai ketika Hari Terbuka KIAS 2011 (HITEK 11'). Selain tujuan utama dibuka gerai tersebut untuk menambah pendapatan kelab, NAS juga ingin memberi peluang kepada para ahlinya bagi menimba pengalaman mengamalkan sunnah Rasulullah SAW itu. Untung rugi bukanlah kayu ukurnya, tetapi sejauh mana pengalaman itu diambil adalah jauh lebih penting. Antara barang jualan yang dijual ketika itu adalah baju melayu, baju kurung, buah tamar, air zam-zam, steambot bakar, air 'cocktail', rojak buah dan juga jagung bakar. Alhamdulillah segala yang dirancang berjalan seperti yang diharapkan. Pihak NAS memohon maaf kerana kami gagal memberi kesempatan untuk menjaga gerai tersebut kepada semua ahli NAS. Terima kasih juga diucapkan kepada semua ahli yang terlibat dalam menguruskan gerai NAS baru-baru ini, terutamanya para ahli jawatankuasa yang dedikasi sekalian. Semoga penat lelah ahli yang bertungkus-lumus pada hari itu Allah balas dengan ganjaran yang setimpalnya.


Jumaat, 29 Julai 2011

Seminar Siasah Syar'iyyah 2011

Jabatan Al-Syariah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra akan menganjurkan Seminar Siasah Syar'iyyah 2011 dengan dibantu oleh ahli jawatankuasa Nadi Al-Syariah. Kepada mana-mana individu yang ingin menyertai seminar ini, sokongan anda amatlah dialu-alukan. Jabatan Al-Syariah mengambil inisiatif untuk menganjurkan seminar ini adalah rentetan daripada Seminar Maqasid Syariah yang pernah dianjurkan pada tahun 2009 dahulu. Selain itu, kami juga melihat peri pentingnya masyarakat sekarang ini memahami Siasah Syar'iyyah. Kepada siapa-siapa yang berminat anda bolehlah merujuk kepada line berikut:

http://seminarsiasah2011.blogspot.com/2011/07/pamphlet-berserta-tentatif-untuk-di.html
http://seminarsiasah2011.blogspot.com/2011/07/pamphlet-berserta-borang-untuk-di.html

Sabtu, 25 Jun 2011

PEMBOHONGAN KISAH ISRA' MI'RAJ DARI RUMAH UMMU HANI'

Kisah Isra' Mi'raj' yang berlaku kepada Rasulullah s.a.w. bermula dari rumah Ummu Hani ' adalah begitu popular di kalangan masyarakat dan diutarakan dalam pelbagai bentuk yang menarik terutamanya pada musim ' Isra' Mi'raj'

Kisah ini diterima bulat - bulat tanpa dipersoalkan dan diperiksa kecacatannya oleh kerana ia telah dimasukkan ke dalam sukatan - sukatan mata pelajaran Agama Islam termasuklah sukatan yang disediakan oleh Universiti al-Azhar- Sila rujuk buku sukatan pelajaran Muthala'ah yang diterbitkan oelh Universiti al-Azhar untuk peringkat menengahnya .

Kita berasa sedih dengan nasib ummah yang malang ini . Setelah merosot dalam segala-galanya dan berada dalam keadaan tenat, umat Islam disuapkan pula dengan ubat-ubat beracun berupa cerita -cerita yang karut marut seperti ini . Apa agaknya yang akan terjadi kepada ummah ini jika keadaan ini dibiarkan terus merebak .

Walaupun al-Quran secara lantang mengatakan , " Maha Suci Tuhan yang telah menperjalankan hambaNya pada waktu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa"- ( Surah al-Isra' ayat 11 ); walaupun Sahih Bukhari, Sahih Muslim dan lain - lain kitab hadis yang muktabar dengan terang - terang menyebutkan riwayat dari Anas bin Malik dan Malik bin Sa'sa'ah bahawa Nabi s.a.w. bersabda, " Ketika saya berada di Baitullah, ketika saya berada dalam hatim ( yakni di Masjidil Haram )", namun sebahagian besar ulama' masih lagi dengan lantang berkhutbah di atas mimbar dengan mengemukakan riwayat mi'raj Nabi s.a.w. bermula dari rumah Ummu Hani '!

Mereka adalah golongan yang membaca al-Quran dan hadis, tetapi masih tidak mahu meninggalkan riwayat tersebut. Sebaliknya mereka cuba mengemukakan bermacam - macam ta'wilan dengan mengatakan umpamanya, rumah Ummu Hani' itu terletak dalam hatim! Padahal telah diketahui umum bahawa tiada rumah sesiapapun dalam hatim itu! Ada juga yang mengatakan bahawa ketika Baginda s.a.w. beristirehat di rumah Ummu Hani', tiba - tiba datang dua orang malaikat, mereka menebuk bumbung rumah Ummu Hani' lalu mengangkat Baginda s.a.w. ke Ka'bah.

Ta'wilan - ta'wilan seumpamanya ini terpaksa dilakukan oleh mereka untuk mengkompromikan keterangan al-Quran dan hadis yang jelas dengan riwayat "Imam al-Maghazi" Muhammad bin Ishaq.

Begitu mendalamnya kesan dan pengaruh Ibnu Ishaq itu dalam fikiran umat Islam dan ia melekat dengan begitu kuat sekali sehingga tidak boleh ditanggalkan lagi !

Sebenarnya, cerita yang mengatakan dua malaikat menebuk bumbung rumah Ummu Hani' untuk membawa keluar Rasulullah s.a.w. ke Baitullah atau ke Masjidil Haram itu lebih cocok dikaitkan dengan inovasi kumpulan penculik dari mengaitkannya dengan sabda Nabi s.a.w.! Akan ada pula nanti orang yang bersangka baik terhadap pengendap-pengendap atau penyamun - penyamun yang mengintai-intai mereka dari atas bumbung rumah.....manalah tahu jangan - jangan mereka juga malaikat seperti yang tersebut dalam riwayat ini !!!.

Kisah ini bukan sahaja telah dikemukakan oleh Ibnu Ishaq, malah ia juga telah dikemukakan oleh al-Kalbi- seorang pendusta besar dan Syi'ah pekat seperti Ibnu Ishaq dan ramai lagi orang - orang yang seperti mereka .

Riwayat yang dikemukakan oleh Ibnu Ishaq adalah sebagaimana berikut: Di antara kisah yang sampai kepada saya dari Ummu Hani' binti Abi Thalib berhubung Isra' Rasulullah s.a.w ialah beliau (Ummu Hani') menceritakan, " Rasulullah s.a.w. tidak diIsra'kan melainkan ketika Baginda s.a.w berada di rumahku. Baginda s.a.w tidur di samping ku pada malam itu di rumah ku. Mula-mula Baginda s.a.w bersembahyang Isya' kemudian tidur. Kami pun turut tidur. Sebelum fajar Rasulullah telahpun mengejutkan kami lalu bersembahyang Subuh. Kami bersembahyang bersamanya ."

Setelah itu Rasulullah bersabda, " Wahai Ummu Hani'! Malam tadi saya telah bersembahyang bersama kamu seperti yang kamu tahu di wadi ini. Selepas itu saya pergi ke Baitul Maqdis dan bersembahyang di sana dan sekarang saya bersembahyang Subuh bersama kamu seperti yang kamu saksikan."

"Setelah itu Rasulullah s.a.w bangkit untuk keluar. Aku memegang hujung selimut Baginda s.a.w, maka tersingkap perut Nabi s.a.w bagaikan kain qibti yang berlipat lalu aku pun berkata kepada Baginda s.a.w, " Wahai Nabiyallah! Janganlah engkau ceritakan perkara ini kepada orang ramai, nanti mereka akan mendustakan engkau dan menyakitimu". Baginda s.a.w berkata, " Demi Allah! Aku tetap akan menceritakan kepada mereka". Ummu Hani'' berkata, "Akupun memerintahkan seorang sahaya perempuanku berketurunan Habsyi," Eh! Ikutlah Rasulullah s.a.w. supaya engkau dapat mendengar apa yang disampaikannya kepada orang ramai dan apa pula reaksi mereka terhadap keterangan Baginda itu ."

Sebelum itu Ibnu Ishaq telah pun mengemukakan peristiwa Isra' Mi'raj yang dinukilnya dari Hasan Basri di mana diceritakan, " Setelah pagi sekembalinya Rasulullah s.a.w dari Isra' Mi'raj, Baginda s.a.w menceritakan kepada orang - oang Quraisy peristiwa perjalanannya. Berkatalah kebanyakan orang, " Demi Allah ! Pelik betul cerita ini . Jarak yang direntasi oleh unta sebulan perjalanan dari Mekah ke Syam dan sebulan pula perjalanan balik dari sana ke Mekah mungkinkah boleh direntasi oleh Muhammad dalam hanya satu malam dan sudah pun ia sampai ke Mekah? " Maka ramailah orang - orang yang telah memeluk Islam menjadi murtad. Orang ramai terus pergi kepada Abu Bakar untuk bertanya beliau.." - ( Ibid jilid 2 m.s. 32,33 & 34 )

Ibnu Ishaq , Ibnu Sa'ad dan al-Kalbi langsung tidak mengemukakan isnad mereka dalam menyampaikan kisah ini. Tetapi Ibnu Jarir, at-Thabari , Baihaqi, Ibnu Abi Hatim, Abu Ya'la dan Ibnu Asakir telah mengemukakan isnad bagi kisah ini. Perawi - perawi yang tersebut dalam isnad mereka ialah Abu Ja'far -ar Razi, Abu Harun al-Abdi dan Khalid bin Yazid atau Abu Malik. Marilah kita berkenalan sebentar dengan perawi - perawi tersebut :-


1) Abu Ja'far ar-Razi

Namanya Isa bin Abi Isa. Lahir di Basrah dan menetap di Ray . Di antara orang yang meriwayatkan daripada beliau ialah anak beliau sendiri Abdullah dan Abu Nu'aim. Meskipun Yahya bin Ma'in dan Abu Hatim mengatakan beliau seorang tsiqah namun Ali Ibnu Madini mengatakan beliau seringkali melakukan kesilapan. Riwayat - riwayatnya bercelaru. Fallas berkata , " Ingatannya sangat teruk." Ibnu Hibban berkata, " Dia seringkali mengemukakan riwayat - riwayat yang mungkar dengan menghubungkan kepada Imam - Imam yang masyhur." Abu Zur'ah berkata, " Selalu dia mengalami kecelaruan fikiran ( waham )." Imam Zahabi pula berkata , " Dia telah mengemukakan peristiwa Mi'raj dalam satu riwayat yang panjang melalui Rabi' bin Anas. Diambilnya dari Abu al-'Aaliah dan Abu al-' Aaliah pula mengambilnya dari Abu Hurairah. Di dalam riwayatnya itu banyak sekali perkara - perkara mungkar ".- ( Mizan al-I'tidal jilid 3 m.s. 320 )

Imam Zahabi telah menghukum mungkar riwayat ini kerana terdapat dalam sanadnya Abu Ja'far ar-Razi, kerana kecacatan pada buruknya ingatannya dan beliau selalu mengaitkan cerita karut dengan Imam-Imam yang masyhur. Bagaimana dengan dua orang lagi perawi dalam isnad tersebut ? Selepas Abu Ja'far ar-Razi mari kita lihat perawi seterusnya .

2) Khalid bin Yazid

Abu Malik ad-Dimasyqi - Dia adalah penduduk Damsyik. Yahya bin Ma'in berkata, " Dia adalah seorang manusia yang lemah". Imam Ahmad berkata, " Dia tiada bernilai langsung." Nasa'i berkata , " Dia tidak tsiqah". Daraquthni berkata berkata, " Dia seorang da'if". Ibnu Abi al-Hawari menceritakan bahawa, " Saya pernah mendengar Yahya bin Ma'in berkata, " Di Iraq ada sebuah kitab yang perlu dikebumikan iaitu tafsir al-Kalbi ( yang kemudiannya terkenal dengan Tafsir Ibnu Abbas ) . Di Syam pula ada sebuah kitab yang juga perlu dikebumikan iaitu kitab ad-Diyat tulisan Khalid bin Yazid. Hati Khalid ini tidak akan senang selagi tidak berbohong tentang ayahnya dan para sahabat ".

Ahmad bin Abi al-Hawari ini juga berkata, " Dulu saya pernah menyalin kitab Khalid ini tetapi kemudiannya saya memberikannya kepada penjual ubat untuk dijadikan kertas pembungkus ubat-ubatnya." Imam Zahabi berkata , " Dia dilahirkan pada tahun 105H dan mati ketika berumur 80 tahun." - ( Lihat Mizan al-I'tidal jilid 1 m.s 654 )

Keterangan di atas membuktikan bahawa Khalid bin Yazid adalah seorang yang tidak boleh diterima menurut sekalian ulama' hadis. Imam Yahya bin Ma'in bahkan mengatakan beliau seorang pendusta besar. Dia banyak berbohong tentang para sahabat .


3) Perawi ketiga ialah Abu Harun al-Abdi

Namanya ialah Umarah bin al-Juwain. Riwayat-riwayatnya terdapat dalam Sunan Tirmidzi dan Sunan Ibnu Majah. Imam Zahabi berkata , " Dha'if." Hammaad bin Zaid berkata , " Pembohong." Imam Ahmad berkata , " Tidak bernilai langsung." Yahya bin Ma'in berkata, " Dia seorang dha'if ( lemah ). Riwayat - riwayatnya tidak boleh dibenarkan." Nasa'i berkata , " Matrukul hadis ( seorang yang ditinggalkan dan tidak dipakai hadisnya )." Ibnu Hibban berkata, " Dia selalu mengaitkan riwayat-riwayat dengan Abu Sa'id al-Khudri iaitu riwayat - riwayat yang tidak pernah dikemukakan oleh Abu Sa'id." Imam Syu'bah berkata , " Kalau aku diberi pilihan di antara 2 perkara, sama ada aku dibunuh atau mengemukakan kepada orang ramai riwayat - riwayat Abu Harun, maka aku akan memilih supaya dibunuh , aku tidak akan mengemukakan riwayatnya. Sebelum ini aku selalu bertanyakan halnya dari setiap qafilah yang datang tetapi kemudian dia datang ke Basrah. Padanya ada sebuah kitab. Saya membaca kitab itu. Saya mendapati dia menuliskan keburukan - keburukan Ali di dalamnya."

Iman Daraquthni berkata , " Dia seorang yang sentiasa berubah-ubah. Kadang - kadang menjadi seorang Rafidhi ( Syi'ah ), kadang - kadang menjadi seorang Khariji (orang Khawarij)."

Ibnu Hibban berkata , " Riwayat - riwayat yang dikaitkannya dengan Abu Sa'id al-Khudri semuanya bohong. Abu Sa'id tidak pernah meriwayatkan begitu. " Jauzajani berkata , " Abu Harun adalah seorang pendusta besar. Dia selalu menuduh para sahabat dengan pelbagai tuduhan." Syu'bah berkata lagi, " Pernah aku pergi kepadanya dan meminta supaya menunjukkan kepadaku riwayat - riwayat yang dikaitkan Abu Sa'id dengannya . Dia meletakkan sebuah kitab di hadapanku. Di antara yang tersebut di dalam kitab itu ialah Abu Sa'id al-Khudri berkata bahawa Utsman bin Affan telah benar - benar kufur terhadap Allah s.w.t. sebelum beliau wafat. Saya mengembalikan kitab itu kepadanya dan terus pulang .

Itulah dia Abu Harun al-Abdi yang menulis tentang keburukan - keburukan Sayyidina Ali dan juga keburukan - keburukan Sayyidina Utsman. Jika orang seperti ini mengemukakan riwayat yang menyebut bahawa , " Setelah Nabi S.A.W menceritakan peristiwa Isra' Mi'raj yang dialaminya, maka murtadlah sekian ramai orang - orang yang telah memeluk Islam; barangkali mengikut Abu Harun al-Abdi ini termasuklah juga Sayyidina Ali dan Sayyidina Utsman , kerana bukanlah ramai sangat orang - orang yang telah memeluk agama Islam hingga ke waktu itu .

Yahya bin Ma'in berkata, " Abu Harun mempunyai satu sahifah yang dipanggilnya Sahifah al-Washi ( penerima wasiat atau Sahifah Ali ) . Saleh bin Muhammad pula berkata bahawa, " Abu Harun lebih bohong daripada Firaun. Dia telah meninggal dunia pada tahun 134H." - ( Lihat Mizanu al-I'tidal jilid 3 m/s 173-174 ).

Itulah sekilas pandang tentang perawi - perawi kisah Isra' Nabi S.A.W dari rumah Ummu Hani'. Mereka terdiri dari orang - orang Syi'ah seperti Ibnu Ishaq juga dan telah dihukum oleh ulama' Rijal dengan pelbagai hukuman seperti yang telah dikemukakan tadi .


Sekarang mari pula kita menilai riwayat tersebut dengan neraca dirayah dan logik untuk menentukan di mana letaknya kepalsuan dan serentak dengan itu dapat kita faham apa maksud sebenar di sebalik cereka itu .

1) Isra' dan Mi'raj Nabi s.a.w. berlaku sebelum Nabi berhijrah ke Madinah. Pada waktu itu Ummu Hani' masih belum memeluk agama Islam. Beliau hanya memeluk agama Islam setelah Mekah ditakluk Nabi pada tahun 8 Hijrah.

2) Sembahyang Isya' dan Subuh baru difardhukan pada malam Mi'raj itu. Bagaimana mungkin seperti yang tersebut di dalam riwayat ini di mana Nabi s.a.w telah bersembahyang Isya' bersama Ummu Hani' yang belum Islam di rumahnya ?

3) Siapakah yang dimaksudkan oleh Ummu Hani' dengan perkataan ' kami' dalam riwayat ini iaitu……" Kami bersembahyang bersama Nabi"? Kalau yang dimaksudkan ' kami' di sini termasuk suami beliau Hubairah, maka suaminya adalah di antara musuh ketat Rasulullah s.a.w pada ketika itu bahkan setelah Mekah dikuasai Nabi s.a.w pun dia tidak memeluk agama Islam sebaliknya cabut lari ke Najran. Kemudian dari sana dia berangkat pula ke Rom lalu menganut agama Kristian dan mati sebagai seorang Kristian .

4) Tersebut juga dalam sirah bahawa Nabi s.a.w telah melamar Ummu Hani' kepada Abu Thalib sebelum Baginda s.a.w berkahwin dengan Khadijah tetapi Abu Thalib menolak mentah-mentah lamaran itu dengan alasan Nabi s.a.w seorang yang papa kedana dan tidak mulia . Setelah itu Abu Thalib mengahwinkan Ummu Hani' dengan Hubairah yang merupakan musuh ketat Rasulullah s.a.w

Dalam keadaan sebegini wajarkah Nabi s.a.w bermalam di rumah Ummu Hani' ? Sememangnya musuh - musuh Islam mereka cerita ini dengan maksud menuduh Nabi S.A.W dengan 2 tuduhan iaitu :-

1) Jika kita andaikan Hubairah pada malam itu berada di rumah maka ia menunjukkan betapa tidak malunya Nabi s.a.w kerana telah bermalam di rumah seorang yang Nabi sendiri telah dianggap sebagai papa kedana dan tidak mulia berbanding orang itu . Lebih penting dari itu, bagaimana Rasulullah s.a.w boleh bermalam di rumah musuhnya ? Tidakkah mungkin Hubairah juga telah mengetahui bahawa Nabis.a.w pernah melamar Ummu Hani' sebelumnya ? Tidakkah mungkin timbul rasa cemburu di dalam hati Hubairah, manalah tahu kalau - kalau Nabi s.a.w masih menaruh hati kepada isterinya ? Apalagi bila diingatkan Muhamamd adalah musuh ketatnya ?

2) Jika diandaikan pada malam itu Hubairah tiada ti rumah pula , maka cerita ini akan membuka peluang seluas - luasnya untuk meragui kesucian peribadi Nabi S.A.W, kerana Nabi S.A.W digambarkan telah tidur bersama seorang perempuan yang pernah dilamarnya dahulu , di rumah perempuan itu pada ketika ketiadaan suaminya. Malah cerita ini menunjukkan betapa intimnya perhubungan Nabi s.a.w dengan Ummu Hani'. Keadaan ini dapat dilihat dengan jelas pada keesokan paginya bila mana Nabi s.a.w bersedia untuk keluar memberitahu orang ramai tentang Isra' Mi'rajnya, bagaimana Ummu Hani memegang hujung selimutnya sehingga terdedah perut Nabi s.a.w yang digambarkan seperti kain qibti yang berlipat .

3) Kisah ini jelas bertentangan dengan al-Quran dan hadis - hadis Nabi s.a.w yang sahih menurut ilmu usul hadis. Salah satu tanda kepalsuan sesuatu hadis itu ialah ia bercanggah dengan al-Quran dan hadis - hadis yang sahih .

4) Tidak masuk akal sama sekali Nabi s.a.w akan meninggalkan rumahnya sepanjang malam untuk bermalam di rumah seorang perempuan asing dalam keadaan di rumah Baginda S.A.W sendiri masih ada dua orang anak perempuan Baginda iaitu Fatimah dan Ummi Kultsum. Dalam kisah ini tidak diterangkan pula kepada siapakah Nabi s.a.w meninggalkan mereka berdua dan untuk apa Nabi s.a.w bermalam di rumah Ummu Hani ' ?

5) Tindakan Ummu Hani' memegang hujung selimut Nabi s.a.w pada keesokan paginya menunjukkan dengan jelas bahawa Hubairah tiada di rumah. Kalau Hubairah tiada di rumah maka siapakah lagi yang tidur di rumah Ummu Hani ' pada malam itu dan bersembahyang secara berjamaah ? Sesungguhnya kisah ini merupakan satu serangan yang amat dahsyat terhadap kesucian peribadi Nabi s.a.w. Ia tidak mungkin dicipta dan direka kecuali oleh musuh - musuh Nabi s.a.w

6) Dalam riwayat Hasan Basri pula tersebut bahawa setelah Nabi s.a.w mengemukakan peristiwa Isra' dan Mi'raj, maka murtadlah ramai orang yang telah memeluk agama Islam. Tetapi tidak pula dalam riwayat ini disebutkan nama orang-orang yang telah murtad itu . Siapakah mereka ? Sedangkan orang - orang yang memeluk agama Islam pada ketika itu tidaklah begitu ramai. Nama - nama mereka pun disebutkan dengan jelas dalam kitab - kitab sirah. Sesungguhnya kisah ini juga merupakan satu serangan ke atas keikhlasan dan keteguhan para iman para sahabat Nabi s.a.w ia hanya rekaan musuh - musuh sahabat semata - mata

7) Sebenarnya orang - orang yang merekacipta kisah ini adalah orang - oang Syi'ah seperti yang terbukti pada latar belakang perawi - perawinya yang telah disebutkan sebelum ini. Sesuatu cerita rekaan Syi'ah pasti akan mempunyai unsur melebih-lebihkan Sayyidina Ali dan mengistimewakannya dari sahabat - sahabat Nabi s.a.w yang lain . Bukankah Ummu Hani' ini kakak kepada Sayyidina Ali, anak kepada Abu Thalib ? Bagaimana Syi'ah akan melepaskan peluang ini ? Mereka tidak menerima sesuatu peristiwa besar yang berlaku kepada Rasulullah s.a.w tanpa adanya peranan Sayyidina Ali atau keluarganya di sebalik peristiwa itu

Rabu, 15 Jun 2011

Pandangan Ulama Mengenai Tabarruj

PANDANGAN ULAMA

Pada dasarnya perhiasan dalam erti kata mempercantik diri dan selain diri agar orang lain merasa senang memandang adalah diharuskan.Perhiasan itu selama mana ianya tidak bertentangan dan berlawanan dengan syara‘ adalah sangat digalakkan dan dituntut dalam Islam. Sebagai contoh, Allah memerintahkan agar manusia memakai perhiasan pada setiap kali pergi ke masjid, firmanNya:

Tafsirnya: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-‘Araf, ayat 31)

Perhiasan itu fungsinya bukan setakat untuk memperindah dan mencantikkan tubuh badan dan sesuatu tempat saja, seperti dinding-dinding dan ruang-ruang tertentu di dalam rumah, di masjid dan sebagainya, tetapi juga fungsinya menjadi alat dan bahan untuk kegunaan suatu tujuan, sama ada ianya digunakan kerana ada keperluan, seperti untuk perubatan, ataupun digunakan tanpa ada keperluan, seperti pinggan dan cawan yang diperbuat daripada perak atau emas digunakan untuk makan dan minum kerana semata-mata menunjukkan a kehidupan yang mewah.

Namun begitu, bukan semua jenis barang-barang perhiasan itu diharuskan untuk dijadikan bahan kegunaan dan hiasan diri dan tempat. Terdapat garis panduan hukum syara‘ yang menentukan bahan-bahan perhiasan mana yang boleh dan tidak boleh digunakan dan dipakai, baik bagi laki-laki mahupun perempuan.

Pembahasannya lebih kurang sama dalam menafsirkan `perhiasan yang zahir’. Berikut ini adalah apa yang tersebut di dalam Zadul Masir fi Ilmit Tafsir oleh Ibnul Jauzi: Maksud `perhiasan yang zahir/apa yang biasa dilihat’, terdapat tujuh pendapat, iaitu:

1. Ia bermaksud pakaian. Ini adalah riwayat dari Abu Ahwash dari Ibnu Mas’ud.
2. Bererti telapak tangan, cincin dan muka - Dari Said bin Jubair dari Ibnu Abbas
3. Bererti celak dan cincin – Juga dari Said bin Jubair dari Ibnu Abbas.
4. Bererti gelang, cincin dan celak – Al-Misywar bin Mukhrimah.
5. Bererti celak, cincin dan pewarna telapak tangan – Pendapat dari Mujahid.
6. Bererti cincin dan gelang – Dari al-Hasan.
7. Bererti celak, cincin dan pewarna telapak tangan – dari al-Dhahhak.

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلاَ تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الجَاهِلِيَّةِ الأُولَى

Dan tetaplah di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkahlaku (tabarruj) seperti orang-orang jahiliah dahulu". (Al-Ahzab:33)

Dalam Islam hukum bersolek bagi wanita ada pelbagai keadaan, ada hukumnya wajib, sunat, makruh dan haram, bergantung kepada keadaan dan niat atau tujuan ia dilakukan. Ayat di atas sebagai irsyad ( petunjuk/tunjuk ajar) kepada isteri-isteri Nabi s.a.w. agar tetap di rumah dan tidak bertabarruj sebagaimana orang-orang jahiliyah dahulu.

Tabarruj dikatakan sebagai berjalan dengan berlenggang-lenggok atau memperelokkannya. Ada juga yang mengatakan bahawa tabarruj ialah melepaskan tudung kepalanya tetapi tidak mengikat/mengetatkannya, lalu terlihatlah rantai leher, anting-anting dan lehernya. Lagi satu pendapat lain mengatakan, tabarruj ialah memperlihatkan keelokkan/kecantikkannya sepatutnya wajib ditutup.

Mengapa jahilyah pertama/dahulu ini dikaitkan dengan tabarruj. Perempuan-perempuan jahiliyah pertama/awal memakai baju dari lu'lu' (permata), atau baju dari mutiara dan intan yang tidak berjahit kedua belah, dan berpakaian tipis yang menampakkan tubuh badannya. Dengan berpakaian begini, mereka akan berjalan di jalan-jalan mempamerkan diri mereka kepada kaum lelaki. Dan, dapat dirasakan bahawa zaman berkenaan adalah zaman yang penuh dengan kemewahan.

Wanita bersolek untuk suami

Islam tidak melarang wanita bersolek kecantikan fizikal yang diharuskan oleh syarak, bahkan ia wajib jika dilakukan untuk suami dan menarik perhatian suaminya. Tetapi haram jikan bertujuan untuk menarik perhatian lelaki-lelaki ajnabi atau atau untuk keluar rumah dengan mendedahkan aurat dan persolekannya. Hukumnya juga haram jika bersolek sehingga mengubah kejadian Allah atau menyerupai wanita jahiliyah (tabarruj jahiliah).

Hukum wanita memakai bau-bauan

Terdapat beberapa hukum seperti wajib, haram, sunat, makruh dan harus.

Wajib wanita berwangi-wangian

Ketika suami berada di rumah, khususnya ketika hendak melayan suami pada waktu malam, malah hendaklah mereka terlebih dahulu bersolek dan memakai bau-bauan. Selain daripada itu, nabi saw tidak wajibkan. Nabi saw bersabda “Sebaik-baik wanita (isteri) ialah jika kamu memandangnya sentiasa menyenangkan hati kamu…” (Riwayat an-Nasa’is dari Abu Hurairah)

Maksud menyenangkan hati ialah dalam semua hal dan keadaan, sama ada aspek fizikal dan mental. Dari segi akhlak, wajah dan dirinya sentiasa berhias dan bersolek, sentiasa berbau wangi di rumah dan di hadapan suami, semuanya termasuk perkara yang boleh menyenangkan suami. Tetapi sekiranya untuk keluar rumah, wanita-wanita dilarang bahkan haram bersolek dan memakai bau-bauan kerana terdapat keterangan hadis yang melarang wanita berbuat demikian.

Waktu Sunat wanita berwangi-wangian

i- Ketika berada di dalam rumah, terutamanya ketika berhadapan dengan suami.
ii- Ketika hendak menunaikan solat dan beribadat dalam rumah, bukannya di masjid. Kalau untuk ke masjid, terdapat hadis yang melarang wanita berwangi-wangian.
iii- Ketika menyambut tetamu wanita, sunat berwangi-wangian
kerana sekiranya berkeadaan busuk boleh menimbulkan rasa
kurang senang dan menyakiti perasaan tetamu.

Walau bagaimanapun, selaku seorang muslimat, hendaklah sentiasa kelihatan kemas, badan dan pakaian hendaklah tidak berbau busuk.Oleh itu, sunat bagi wanita memakai bau-bauan ketika berada di rumah atau ketika sesama wanita.

Terdapat keterangan dalam hadis-hadis yang lain yang menjelaskan tentang wanita juga digalakkan berwangi-wangian tetapi tidak pada dan tempat yang dilarang. Rasulullah saw bersabda “Wangi-wangian lelaki ialah yang jelas baunya dan tersembunyi warnanya. Sementara wangi-wangian wanita pula ialah yang cemerlang (jelas) warna dan tersembunyi baunya”(Riwayat al-Tarmizi)

Bahkan Aisyah sendiri memiliki minyak wangi yang terbaik. Dia menggunakan wangian tersebut apabila melayan Rasulullah saw. Baginda saw. Kata Aisyay “Aku memakaikan minyak wamgi kepada nabi saw ketika baginda hendak melakukan ihram, dengan minyak yang terbaik yang aku miliki” (Riwayat Abu Daud dan Tarmizi)

Selain daripada itu juga, adalah sunat bagi wanita memakai wangi-wangian sebelum berihram. Kerana terdapat keterangan bahawa Aisyah berkata “Kami (isteri-isteri Rasulullah saw) pergi menunaikan haji bersama Rasulullah saw. Ketika hendak berihram, kami memakai minyak wangi yang terbaikdi kening kami. Ketika salah seorang di antara kami berpeluh, minyak wangi itu akan mengalir hingga ke muka dan Rasulullah saw melihat hal itu, tetapi tidak menegur kami (ertinya nabi saw tidak melarang)” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Berdasarkan hadis jumhur tersebut, ulamak berpendapat bahawa hukumnya adalah sunat sama ada kepada lelaki dan wanita berwangi-wangian ketika ihram.

Imam Syafie berkata “Sunat bagi lelaki dan wanita menyapu badan dan pakaian dengan minyak wangi ketika hendak (sebelum) melakukan ihram, walaupun zat minyat tersebut kekal hingga sesudah ihram”. Imam Hanafi pula ada mengatakan “Sunat menyapu badan dan pakaian dengan minyak wangi ketika hendak atau sebelum ihram, walaupun zat tidak tinggal melekat, sekalipun baunya kekal” (al-Mazahil al-Arba’ah)

Namun Imam ada memberikan peringatan kepada wanita “Seseorang yang hendak berihram, hendaklah memakai bau-bauan sebelum melakukan ihram (bukan ketika sedang berihram). Itulah yang lebih sah. Walaupun bau wanginya terlekat hingga sesudah ihram. Tetapi sekiranya setelah ia menanggalkan ihram itu lalu memakainya semula, maka dikenakan fidyah, kecuali dia mencuci pakaian itu terlebih dahulu. Kerana orang sedang berihram disyaratkan menjauhkan bau-bauan” (al-Minhaj)

Ibnu Hajar dan Syeikh Ramli menyatakan makruh menyapu bau-bauan pada pakaian ihram. Bagi yang membolehkannya adalah sebelum ihram. Sesudah berihram, jemaah terbesar daripada sahabat dan tabii,jumhur ahlu hadis dan ahli fiqh menyatakan haram. Mereka ialah Saad bin Abi Waqas, Ibnu Abbas, Ibnu Zubair, Muawiyah, al-Sauri, Abu Yusuf, Ahmad, Daud dan lain-lain (syarah Soheh Muslim oleh as-Sauri)

Waktu makruh wanita memakai wangi-wangian

Hukum berwangi-wangian ketika berpuasa adalah makruh. Ini telah umum disepakati oleh ulamak dan terdapat penjelasan dalam bab puasa. Keterangan yang dapat dipegang dan dijadikan alas an ialah fatwa Imam Syafie dan Qaliyubi yang menyatakan “makruh memakai wangi-wangian ketika berpuasa” Menurut Qaliyubi pendapat itu ialah pendapat ijmak.

Waktu haram bagi wanita berwangi-wangian

Waktu-waktu yang dilarang ialah ketika keluar rumah untuk ke majlis yang dibenarkan oleh syarak, di hadapan lelaki ajnabi, bertujuan untuk memikat lelaki dan ketika ke masjid untuk solat berjemaah. Keterangan yang berkaitan waktu-waktu itu ialah seperti berikut:

i- Rasulullah saw bersabda “….seseorang wanita apabila memakai bau-bauan, kemudian melewati (melintasi) di hadapan orang ramai dalam sesuatu majlis (yang ada lelaki dan bukan muhram dengannya), maka wanita itu dikira sama (dosanya) dengan zina” (Riwayat Ahmad dan al-Tamizi)

ii- Abu Hurairah menceritakan bahawa dia pernah bertemu dengan seorang wanita sedang pulang daripada masjid dan ia berbau wangiannya, lalu beliau menegur “Wahai hamba Allah, apakah kamu pulang dari masjid. Rasulullah saw pernah bersabda bahawa Allah swt tidak akan menerima solat wanita yang memakai bau-bauan ke masjid sehingga dia pulang dan mandi ……” (abu Daud, an-Nasaie,Ibnu Majah dan al-Baihaqi)

iii- Dari Zainab as-Saqafi, katanya Rasulullah saw bersabda “Apabila salah seorang daripada kmau hendak ke masjid, maka janganlah memakai bau-bauan” (Riwayat Muslim dan Abu Awwanah)

iv- Dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah saw bersabda “Mana-mana wanita yang memakai bau-bauan, janganlah ke masjid bersolat isyak” (Riwayat Muslim dan Abu Awwanah serta Ashabussunah)

Hadis ini menyebut waktu Isyak, tetapi perawinya sepakat menyatakan bahawa larangan itu meliputi seluruh waktu solat dan Isyak dijadikan sebagai contoh kerana ketika itu paling banyak fitnah bagi wanita.

Imam Nawawi pula tidak menyebut mana-mana waktu solat bahkan dihukumkan haram bagi mana-mana wanita yang ke masjid memakai wangi-wangian.

vi- Rasulullah saw bersabda “Setiap wanita yang memakai bau-bauan, kemudian melewati di hadapan orang ramai (yang ada lelaki bukan mahram dengannya) dengan niat supaya mereka mencium baunya, maka wanita itu dikira (berdosa) sama dengan melakukan zina”

vii- Ibnu Hajar dalam kitabnya al-Zawajir berkata “Apabila wanita keluar rumah memakai bau-bauan dan berhias, maka itu termasuk dosa besar walaupun diizinkan oleh suaminya”

viii- Bagi wanita yang kematian suami, ketika ia masih dalam iddah, maka haram baginya berwangi-wangian. Satu fatwa daripada Imam Syafie “wanita yang kematian suami dan masih dalam iddah (4 bulan, 10 hari), maka dia dilarang daripada memakai bau-bauan”

Qaliyubi pula menyatakan “Bagi wanita yang kematian suami, semasa iddah, maka haram baginya memakai bau-bauan”

Beberapa Hadis Rasulullah saw sebagai paduan

أيَّمَا امْرَأَةٍ وَضَعَتْ ثِيَابَهَا فِي غَيْرِ بَيْتِ زَوْجِهَا، فَقَدْ هَتَكَتْ سِتْرَ مَا بَيْنَهَا وَبَيْنَ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ

“Siapa saja di antara wanita yang menanggalkan pakaian-nya di selain rumah suaminya, maka ia telah mengoyak tirai pelindung antara dirinya dan Allah Azza wa Jalla.

مَثَلُ الرَّافِلَةِ في الزِّينَةِ في غَيْرِ أهْلِهَا ، كَمَثَلِ ظُلْمَةٍ يَوْمَ القِيَامَةِ لاَ نُورَ لهَا


“Permisalan wanita yang berhias untuk selain suaminya, adalah bagaikan kegelapan pada hari kiamat, tidak ada cahaya baginya.”

Maksudnya adalah wanita yang berlenggak-lenggok ketika berjalan dengan menarik pakaiannya, akan datang pada hari kiamat dalam keadaan hitam dan gelap, bagaikan berlenggak-lenggok dalam kegelapan. Dan hadits ini walaupun lemah, tetapi artinya benar, karena kenikmatan dalam maksiat adalah siksaan, wangi-wangian akan menjadi busuk dan cahaya menjadi kegelapan. Kebalikan dari taat, bahwa bau mulut orang yang berpuasa dan darah orang yang mati syahid lebih harum di sisi Allah dari bau minyak kasturi."

سَيَكُونُ فِي آخِرِ أُمَّتِي نِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ ، عَلَى رُؤُوسِهِنَّ كَأَسْنِمَةِ البَخْتِ ، اِلْعَنُوهُنَّ فَإنَّهُنَّ مَلْعُونَاتٌ

“Akan ada pada akhir umatku nanti wanita-wanita yang berpakaian tapi telanjang, kepala mereka bagaikan punuk unta, laknatlah mereka karena mereka adalah wanita-wanita yang pantas dilaknat.”


Kesimpulan:

Semua orang ingin kelihatan cantik dan menarik, sama ada lelaki atau perempuan. Lelaki tidak boleh berhias dengan menggunakan alat-alat solekan perempuan. Lelaki kelihatan kemas dan menarik melalui penampilan diri atau pakaian mereka. Segala hadis yang dinyatakan di atas adalah berkenaan dengan larangan kepada golongan wanita dan tidak kepada lelaki. Oleh itu, lelaki dibolehkan menggunakan wangian yang sesuai, tidak bertujuan menunjuk-nunjuk, manakala wanita tidak harus menggunakannya untuk menarik perhatian orang lain agar memandang kepadanya. Tetapi harus menggunakannya hanya sekadar inging menghilangkan bau busuk badan agar disenangi oleh masyarakat sekeliling.

والله اعلم

Selasa, 14 Jun 2011

Selamat Datang Kepada Mahasiswa-mahasiswa Baru Jabatan Al-Syariah

Ahlan Wasahlan Wamarhaban Bikum diucapkan kepada semua pelajar-pelajar baru Diploma Al-Syariah. Terima kasih juga diucapkan kepada kalian kerana telah memilih KIAS ini sebagai tempat persinggahan dalam usaha kalian menambah ilmu seterusnya memilih Diploma Al-Syariah sebagai skop pengajian kalian. Sebelum itu tahniah juga diucapkan kepada kalian yang telah berjaya mengharungi hari-hari Minggu Ukhwah Islamiyyah dengan jaya dan sabarnya. Mabruk ilaikum.

Kami di pihak Nadi Al-Syariah (NAS) amat berbesar hati menerima kalian semua sebagai adik-beradik baru di dalam keluarga besar NAS. Malahan kami di pihak kepimpinan memang sudah lama menantikan sokongan serta bantuan daripada kalian semua dalam menjayakan motto utama NAS iaitu, KE ARAH MELAHIRKAN GENERASI FAQIH BERJIWA DAI’E. Kalian seharusnya berbangga kerana diberi peluang untuk bersama-sama kami di dalam mengembangkan perjuangan menegakkan Kalimah Tauhid di atas muka bumi nan indah ini.

Untuk makluman kalian semua, NAS adalah kelab induk di dalam Jabatan Al-Syariah yang kini baru berusia 2 tahun dan kami adalah kepimpinan sesi yang kedua. NAS telah merancang beberapa aktiviti bagi meningkatkan syaqafah para ahlinya. Jadi sokongan ahli-ahlinya dalam menjayakan program ini adalah sesuatu yang amat diharap-harapkan. Bagi makluman semua ahli-ahli bari NAS, anda boleh merujuk pada Pengerusi NAS, Saudara Hafidz Zawawi ataupun Timbalan Pengerusi NAS, Saudari Solehatul Akmal. Program utama untuk semester ini adalah Seminar Siasah Syariaah Peringkat Kebangsaan.

Akhir kalam, selamat menuntut ilmu dan selamat meningkatkan kualiti kalian sebagai pemegang status baru iaitu mahasiswa. Kalian adalah penyambung kepada sejarah kegemilangan mahasiswa sebelum ini. Wallahua’lam.

Wehdatul Fikr Dan Wehdatul Amal Dalam Konteks Amal Islami


Skop amal Islami yang dibincangkan di sini ialah yang melibatkan amal jama’iy dan amal ijtima’iy.Fokus amal Islami ialah dakwah, tarbiyyah dan jihad. Pengertian Wehdatul Fikri dan Wehdatul ‘Amal ialah Wehdatul fikri bermaksud kesatuan fikiran dalam meletakkan matlamat, halatuju, sikap dan pandangan dalam jama’ah. Wehdatul amal bermaksud kesatuan tindakan dalam menjayakan perancangan, penyusunan kerja dan tenaga ke arah mencapai matlamat bersama dalam jama’ah.Ini bererti wehdatul fikri adalah asas penting ke arah wehdatul amal.

Asas-asas Wehdatul Fikri

1. Keutuhan aqidah.
2. Kefahaman tentang tasawwur Islam yang jelas.
3. Kejelasan matlamat dan fikrah perjuangan.
4. Kejelasan prinsip dan keanjalan strategi
5. Memahami uslub dan manhaj jama’ah.
6. Kefahaman waqi’e medan perjuangan.
7. Kekuatan ukhuwwah dan keterbukaan pandangan.

Asas-asas Wehdatul Amal

1. Keutuhan kesatuan fikrah ( wehdatul fikri )
2. Memahami tasawwur amal Islami ( fiqh amal jamai’iy dan ijtima’iy )
3. Memahami kerja berorganisasi
4. Menguasai nizam ( sistem ) jamaah .
5. Perencanaan ( takhtith) yang teliti.
6. Wala’ dan tsiqoh antara qiyadah dan jundiyyah.

Wasilah Wehdatul Fikri dan Wehdatul Amal

1. Pembentukan ahli dan pimpinan melalui tarbiyyah dan perkaderan ( takwin )
2. Perancangan melalui qiyadah dan syuro ( takhtith )
3. Penyusunan melalui organisasi yang tersusun ( tanzhim )

Halangan-halangan Ke Arah Wehdatul Fikri dan Wehdatul Amal

1. Kelemahan dan kelembapan takwin.
2. Kemasukan unsur-unsur fikrah ajnabi.
3. Munculnya berbagai firqah dan aliran dalam jamaah.
4. Kelesuan qiyadah dan kedegilan jundiyyah.
5. Perencanaan yang spontan dan perlaksanaan yang kucar kacir.