Jumaat, 19 Februari 2010

Program Pemantapan Bahasa Arab

23 Safar 1431h bersamaan 8 Februari 2010 : Bertempat di Dewan Tok Kenali telah berlangsungnya satu program “ تقوية اللغة العربية ’’ anjuran Unit Pemantapan Bahasa Al-Quran di bawah kelolaan Nadi Al-Syariah, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra,Nilam Puri,Kelantan. Program yang dipengerusikan oleh Ketua Unit Pemantapan Bahasa Al-Quran sendiri iatu Al-Aqh Hashemi Rafsanjani Kassim ini mendapat sambutan hebat daripada semua pelajar Jabatan Al-Syariah termasuk wakil daripada jabatan-jabatan lain.

Program yang julung-julung kalinya diadakan ini telah menjemput penceramah jemputan iatu Yang Berusaha Tuan Haji Ismail Bin Noh . Program yang dimulakan dengan bacaan Al-Quran berqiraat oleh Timbalan Pengerusi NAS iatu Al-Aqh Zulkifli Bin Mohd Noor dan disusuli dengan tayangan video dan ucapan ringkas oleh Penyelaras Unit Pemantapan Bahasa Arab iatu Ustaz Asri Mat Daud Al-Diwani.

Penceramah telah menekankan bahawa Bahasa Arab amat penting dalam kehidupan seharian umat Islam kini terutamanya merangkumi dalam bidang ibadat, muamalat, perdagangan, pembelajaran dan lain-lain perkara. Beliau turut menyarankan agar Bahasa Arab menjadi bahasa harian yang dituturkan oleh pelajar KIAS sama ada ketika berada di kawasan kampus, asrama, kantin malahan di tempat-tempat awam. Setiap pelajar tidak seharusnya berasa malu dan takut menggunakan Bahasa Arab kerana ia merupakan salah satu teknik bagi seseorang dalam memantapkan penguasaan Bahasa Al-Quran.

Beliau turut diberi cadangan seperti mengkhazanahkan kalimah dalam Bahasa Arab. Pelajar KIAS juga disarankan agar belajar bercakap Bahasa Arab daripada kawan-kawan yang mahir. Ia serba sedikit dapat memperbaiki gaya bahasa yang sedia ada. Pelajar juga seharusnya menanam dalam jiwa mereka sikap cintakan Bahasa Arab. Ia perlulah disemai mulai di alam kampus ini lagi kerana selepas ini pelajar perlu menguasai bahasa asing yang lain.
Program diteruskan dengan sesi soal jawab oleh pelajar-pelajar yang berani menunjukkan kemampuan mereka berbahasa Arab. Program berakhir tepat jam 12.30 tengah hari dengan pemberian cenderahati kepada penceramah jemputan oleh Ketua Jabatan Al-Syariah iatu Ustaz Zulqarnain Bin Hassan. Majlis ditangguhkan dengan bacaan tasbin kifarah dan surah Al-Asr disusuli jamuan tengah hari tetamu dan AJK program.