Rabu, 15 Jun 2011

Pandangan Ulama Mengenai Tabarruj

PANDANGAN ULAMA

Pada dasarnya perhiasan dalam erti kata mempercantik diri dan selain diri agar orang lain merasa senang memandang adalah diharuskan.Perhiasan itu selama mana ianya tidak bertentangan dan berlawanan dengan syara‘ adalah sangat digalakkan dan dituntut dalam Islam. Sebagai contoh, Allah memerintahkan agar manusia memakai perhiasan pada setiap kali pergi ke masjid, firmanNya:

Tafsirnya: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-‘Araf, ayat 31)

Perhiasan itu fungsinya bukan setakat untuk memperindah dan mencantikkan tubuh badan dan sesuatu tempat saja, seperti dinding-dinding dan ruang-ruang tertentu di dalam rumah, di masjid dan sebagainya, tetapi juga fungsinya menjadi alat dan bahan untuk kegunaan suatu tujuan, sama ada ianya digunakan kerana ada keperluan, seperti untuk perubatan, ataupun digunakan tanpa ada keperluan, seperti pinggan dan cawan yang diperbuat daripada perak atau emas digunakan untuk makan dan minum kerana semata-mata menunjukkan a kehidupan yang mewah.

Namun begitu, bukan semua jenis barang-barang perhiasan itu diharuskan untuk dijadikan bahan kegunaan dan hiasan diri dan tempat. Terdapat garis panduan hukum syara‘ yang menentukan bahan-bahan perhiasan mana yang boleh dan tidak boleh digunakan dan dipakai, baik bagi laki-laki mahupun perempuan.

Pembahasannya lebih kurang sama dalam menafsirkan `perhiasan yang zahir’. Berikut ini adalah apa yang tersebut di dalam Zadul Masir fi Ilmit Tafsir oleh Ibnul Jauzi: Maksud `perhiasan yang zahir/apa yang biasa dilihat’, terdapat tujuh pendapat, iaitu:

1. Ia bermaksud pakaian. Ini adalah riwayat dari Abu Ahwash dari Ibnu Mas’ud.
2. Bererti telapak tangan, cincin dan muka - Dari Said bin Jubair dari Ibnu Abbas
3. Bererti celak dan cincin – Juga dari Said bin Jubair dari Ibnu Abbas.
4. Bererti gelang, cincin dan celak – Al-Misywar bin Mukhrimah.
5. Bererti celak, cincin dan pewarna telapak tangan – Pendapat dari Mujahid.
6. Bererti cincin dan gelang – Dari al-Hasan.
7. Bererti celak, cincin dan pewarna telapak tangan – dari al-Dhahhak.

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلاَ تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الجَاهِلِيَّةِ الأُولَى

Dan tetaplah di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkahlaku (tabarruj) seperti orang-orang jahiliah dahulu". (Al-Ahzab:33)

Dalam Islam hukum bersolek bagi wanita ada pelbagai keadaan, ada hukumnya wajib, sunat, makruh dan haram, bergantung kepada keadaan dan niat atau tujuan ia dilakukan. Ayat di atas sebagai irsyad ( petunjuk/tunjuk ajar) kepada isteri-isteri Nabi s.a.w. agar tetap di rumah dan tidak bertabarruj sebagaimana orang-orang jahiliyah dahulu.

Tabarruj dikatakan sebagai berjalan dengan berlenggang-lenggok atau memperelokkannya. Ada juga yang mengatakan bahawa tabarruj ialah melepaskan tudung kepalanya tetapi tidak mengikat/mengetatkannya, lalu terlihatlah rantai leher, anting-anting dan lehernya. Lagi satu pendapat lain mengatakan, tabarruj ialah memperlihatkan keelokkan/kecantikkannya sepatutnya wajib ditutup.

Mengapa jahilyah pertama/dahulu ini dikaitkan dengan tabarruj. Perempuan-perempuan jahiliyah pertama/awal memakai baju dari lu'lu' (permata), atau baju dari mutiara dan intan yang tidak berjahit kedua belah, dan berpakaian tipis yang menampakkan tubuh badannya. Dengan berpakaian begini, mereka akan berjalan di jalan-jalan mempamerkan diri mereka kepada kaum lelaki. Dan, dapat dirasakan bahawa zaman berkenaan adalah zaman yang penuh dengan kemewahan.

Wanita bersolek untuk suami

Islam tidak melarang wanita bersolek kecantikan fizikal yang diharuskan oleh syarak, bahkan ia wajib jika dilakukan untuk suami dan menarik perhatian suaminya. Tetapi haram jikan bertujuan untuk menarik perhatian lelaki-lelaki ajnabi atau atau untuk keluar rumah dengan mendedahkan aurat dan persolekannya. Hukumnya juga haram jika bersolek sehingga mengubah kejadian Allah atau menyerupai wanita jahiliyah (tabarruj jahiliah).

Hukum wanita memakai bau-bauan

Terdapat beberapa hukum seperti wajib, haram, sunat, makruh dan harus.

Wajib wanita berwangi-wangian

Ketika suami berada di rumah, khususnya ketika hendak melayan suami pada waktu malam, malah hendaklah mereka terlebih dahulu bersolek dan memakai bau-bauan. Selain daripada itu, nabi saw tidak wajibkan. Nabi saw bersabda “Sebaik-baik wanita (isteri) ialah jika kamu memandangnya sentiasa menyenangkan hati kamu…” (Riwayat an-Nasa’is dari Abu Hurairah)

Maksud menyenangkan hati ialah dalam semua hal dan keadaan, sama ada aspek fizikal dan mental. Dari segi akhlak, wajah dan dirinya sentiasa berhias dan bersolek, sentiasa berbau wangi di rumah dan di hadapan suami, semuanya termasuk perkara yang boleh menyenangkan suami. Tetapi sekiranya untuk keluar rumah, wanita-wanita dilarang bahkan haram bersolek dan memakai bau-bauan kerana terdapat keterangan hadis yang melarang wanita berbuat demikian.

Waktu Sunat wanita berwangi-wangian

i- Ketika berada di dalam rumah, terutamanya ketika berhadapan dengan suami.
ii- Ketika hendak menunaikan solat dan beribadat dalam rumah, bukannya di masjid. Kalau untuk ke masjid, terdapat hadis yang melarang wanita berwangi-wangian.
iii- Ketika menyambut tetamu wanita, sunat berwangi-wangian
kerana sekiranya berkeadaan busuk boleh menimbulkan rasa
kurang senang dan menyakiti perasaan tetamu.

Walau bagaimanapun, selaku seorang muslimat, hendaklah sentiasa kelihatan kemas, badan dan pakaian hendaklah tidak berbau busuk.Oleh itu, sunat bagi wanita memakai bau-bauan ketika berada di rumah atau ketika sesama wanita.

Terdapat keterangan dalam hadis-hadis yang lain yang menjelaskan tentang wanita juga digalakkan berwangi-wangian tetapi tidak pada dan tempat yang dilarang. Rasulullah saw bersabda “Wangi-wangian lelaki ialah yang jelas baunya dan tersembunyi warnanya. Sementara wangi-wangian wanita pula ialah yang cemerlang (jelas) warna dan tersembunyi baunya”(Riwayat al-Tarmizi)

Bahkan Aisyah sendiri memiliki minyak wangi yang terbaik. Dia menggunakan wangian tersebut apabila melayan Rasulullah saw. Baginda saw. Kata Aisyay “Aku memakaikan minyak wamgi kepada nabi saw ketika baginda hendak melakukan ihram, dengan minyak yang terbaik yang aku miliki” (Riwayat Abu Daud dan Tarmizi)

Selain daripada itu juga, adalah sunat bagi wanita memakai wangi-wangian sebelum berihram. Kerana terdapat keterangan bahawa Aisyah berkata “Kami (isteri-isteri Rasulullah saw) pergi menunaikan haji bersama Rasulullah saw. Ketika hendak berihram, kami memakai minyak wangi yang terbaikdi kening kami. Ketika salah seorang di antara kami berpeluh, minyak wangi itu akan mengalir hingga ke muka dan Rasulullah saw melihat hal itu, tetapi tidak menegur kami (ertinya nabi saw tidak melarang)” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Berdasarkan hadis jumhur tersebut, ulamak berpendapat bahawa hukumnya adalah sunat sama ada kepada lelaki dan wanita berwangi-wangian ketika ihram.

Imam Syafie berkata “Sunat bagi lelaki dan wanita menyapu badan dan pakaian dengan minyak wangi ketika hendak (sebelum) melakukan ihram, walaupun zat minyat tersebut kekal hingga sesudah ihram”. Imam Hanafi pula ada mengatakan “Sunat menyapu badan dan pakaian dengan minyak wangi ketika hendak atau sebelum ihram, walaupun zat tidak tinggal melekat, sekalipun baunya kekal” (al-Mazahil al-Arba’ah)

Namun Imam ada memberikan peringatan kepada wanita “Seseorang yang hendak berihram, hendaklah memakai bau-bauan sebelum melakukan ihram (bukan ketika sedang berihram). Itulah yang lebih sah. Walaupun bau wanginya terlekat hingga sesudah ihram. Tetapi sekiranya setelah ia menanggalkan ihram itu lalu memakainya semula, maka dikenakan fidyah, kecuali dia mencuci pakaian itu terlebih dahulu. Kerana orang sedang berihram disyaratkan menjauhkan bau-bauan” (al-Minhaj)

Ibnu Hajar dan Syeikh Ramli menyatakan makruh menyapu bau-bauan pada pakaian ihram. Bagi yang membolehkannya adalah sebelum ihram. Sesudah berihram, jemaah terbesar daripada sahabat dan tabii,jumhur ahlu hadis dan ahli fiqh menyatakan haram. Mereka ialah Saad bin Abi Waqas, Ibnu Abbas, Ibnu Zubair, Muawiyah, al-Sauri, Abu Yusuf, Ahmad, Daud dan lain-lain (syarah Soheh Muslim oleh as-Sauri)

Waktu makruh wanita memakai wangi-wangian

Hukum berwangi-wangian ketika berpuasa adalah makruh. Ini telah umum disepakati oleh ulamak dan terdapat penjelasan dalam bab puasa. Keterangan yang dapat dipegang dan dijadikan alas an ialah fatwa Imam Syafie dan Qaliyubi yang menyatakan “makruh memakai wangi-wangian ketika berpuasa” Menurut Qaliyubi pendapat itu ialah pendapat ijmak.

Waktu haram bagi wanita berwangi-wangian

Waktu-waktu yang dilarang ialah ketika keluar rumah untuk ke majlis yang dibenarkan oleh syarak, di hadapan lelaki ajnabi, bertujuan untuk memikat lelaki dan ketika ke masjid untuk solat berjemaah. Keterangan yang berkaitan waktu-waktu itu ialah seperti berikut:

i- Rasulullah saw bersabda “….seseorang wanita apabila memakai bau-bauan, kemudian melewati (melintasi) di hadapan orang ramai dalam sesuatu majlis (yang ada lelaki dan bukan muhram dengannya), maka wanita itu dikira sama (dosanya) dengan zina” (Riwayat Ahmad dan al-Tamizi)

ii- Abu Hurairah menceritakan bahawa dia pernah bertemu dengan seorang wanita sedang pulang daripada masjid dan ia berbau wangiannya, lalu beliau menegur “Wahai hamba Allah, apakah kamu pulang dari masjid. Rasulullah saw pernah bersabda bahawa Allah swt tidak akan menerima solat wanita yang memakai bau-bauan ke masjid sehingga dia pulang dan mandi ……” (abu Daud, an-Nasaie,Ibnu Majah dan al-Baihaqi)

iii- Dari Zainab as-Saqafi, katanya Rasulullah saw bersabda “Apabila salah seorang daripada kmau hendak ke masjid, maka janganlah memakai bau-bauan” (Riwayat Muslim dan Abu Awwanah)

iv- Dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah saw bersabda “Mana-mana wanita yang memakai bau-bauan, janganlah ke masjid bersolat isyak” (Riwayat Muslim dan Abu Awwanah serta Ashabussunah)

Hadis ini menyebut waktu Isyak, tetapi perawinya sepakat menyatakan bahawa larangan itu meliputi seluruh waktu solat dan Isyak dijadikan sebagai contoh kerana ketika itu paling banyak fitnah bagi wanita.

Imam Nawawi pula tidak menyebut mana-mana waktu solat bahkan dihukumkan haram bagi mana-mana wanita yang ke masjid memakai wangi-wangian.

vi- Rasulullah saw bersabda “Setiap wanita yang memakai bau-bauan, kemudian melewati di hadapan orang ramai (yang ada lelaki bukan mahram dengannya) dengan niat supaya mereka mencium baunya, maka wanita itu dikira (berdosa) sama dengan melakukan zina”

vii- Ibnu Hajar dalam kitabnya al-Zawajir berkata “Apabila wanita keluar rumah memakai bau-bauan dan berhias, maka itu termasuk dosa besar walaupun diizinkan oleh suaminya”

viii- Bagi wanita yang kematian suami, ketika ia masih dalam iddah, maka haram baginya berwangi-wangian. Satu fatwa daripada Imam Syafie “wanita yang kematian suami dan masih dalam iddah (4 bulan, 10 hari), maka dia dilarang daripada memakai bau-bauan”

Qaliyubi pula menyatakan “Bagi wanita yang kematian suami, semasa iddah, maka haram baginya memakai bau-bauan”

Beberapa Hadis Rasulullah saw sebagai paduan

أيَّمَا امْرَأَةٍ وَضَعَتْ ثِيَابَهَا فِي غَيْرِ بَيْتِ زَوْجِهَا، فَقَدْ هَتَكَتْ سِتْرَ مَا بَيْنَهَا وَبَيْنَ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ

“Siapa saja di antara wanita yang menanggalkan pakaian-nya di selain rumah suaminya, maka ia telah mengoyak tirai pelindung antara dirinya dan Allah Azza wa Jalla.

مَثَلُ الرَّافِلَةِ في الزِّينَةِ في غَيْرِ أهْلِهَا ، كَمَثَلِ ظُلْمَةٍ يَوْمَ القِيَامَةِ لاَ نُورَ لهَا


“Permisalan wanita yang berhias untuk selain suaminya, adalah bagaikan kegelapan pada hari kiamat, tidak ada cahaya baginya.”

Maksudnya adalah wanita yang berlenggak-lenggok ketika berjalan dengan menarik pakaiannya, akan datang pada hari kiamat dalam keadaan hitam dan gelap, bagaikan berlenggak-lenggok dalam kegelapan. Dan hadits ini walaupun lemah, tetapi artinya benar, karena kenikmatan dalam maksiat adalah siksaan, wangi-wangian akan menjadi busuk dan cahaya menjadi kegelapan. Kebalikan dari taat, bahwa bau mulut orang yang berpuasa dan darah orang yang mati syahid lebih harum di sisi Allah dari bau minyak kasturi."

سَيَكُونُ فِي آخِرِ أُمَّتِي نِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ ، عَلَى رُؤُوسِهِنَّ كَأَسْنِمَةِ البَخْتِ ، اِلْعَنُوهُنَّ فَإنَّهُنَّ مَلْعُونَاتٌ

“Akan ada pada akhir umatku nanti wanita-wanita yang berpakaian tapi telanjang, kepala mereka bagaikan punuk unta, laknatlah mereka karena mereka adalah wanita-wanita yang pantas dilaknat.”


Kesimpulan:

Semua orang ingin kelihatan cantik dan menarik, sama ada lelaki atau perempuan. Lelaki tidak boleh berhias dengan menggunakan alat-alat solekan perempuan. Lelaki kelihatan kemas dan menarik melalui penampilan diri atau pakaian mereka. Segala hadis yang dinyatakan di atas adalah berkenaan dengan larangan kepada golongan wanita dan tidak kepada lelaki. Oleh itu, lelaki dibolehkan menggunakan wangian yang sesuai, tidak bertujuan menunjuk-nunjuk, manakala wanita tidak harus menggunakannya untuk menarik perhatian orang lain agar memandang kepadanya. Tetapi harus menggunakannya hanya sekadar inging menghilangkan bau busuk badan agar disenangi oleh masyarakat sekeliling.

والله اعلم

Selasa, 14 Jun 2011

Selamat Datang Kepada Mahasiswa-mahasiswa Baru Jabatan Al-Syariah

Ahlan Wasahlan Wamarhaban Bikum diucapkan kepada semua pelajar-pelajar baru Diploma Al-Syariah. Terima kasih juga diucapkan kepada kalian kerana telah memilih KIAS ini sebagai tempat persinggahan dalam usaha kalian menambah ilmu seterusnya memilih Diploma Al-Syariah sebagai skop pengajian kalian. Sebelum itu tahniah juga diucapkan kepada kalian yang telah berjaya mengharungi hari-hari Minggu Ukhwah Islamiyyah dengan jaya dan sabarnya. Mabruk ilaikum.

Kami di pihak Nadi Al-Syariah (NAS) amat berbesar hati menerima kalian semua sebagai adik-beradik baru di dalam keluarga besar NAS. Malahan kami di pihak kepimpinan memang sudah lama menantikan sokongan serta bantuan daripada kalian semua dalam menjayakan motto utama NAS iaitu, KE ARAH MELAHIRKAN GENERASI FAQIH BERJIWA DAI’E. Kalian seharusnya berbangga kerana diberi peluang untuk bersama-sama kami di dalam mengembangkan perjuangan menegakkan Kalimah Tauhid di atas muka bumi nan indah ini.

Untuk makluman kalian semua, NAS adalah kelab induk di dalam Jabatan Al-Syariah yang kini baru berusia 2 tahun dan kami adalah kepimpinan sesi yang kedua. NAS telah merancang beberapa aktiviti bagi meningkatkan syaqafah para ahlinya. Jadi sokongan ahli-ahlinya dalam menjayakan program ini adalah sesuatu yang amat diharap-harapkan. Bagi makluman semua ahli-ahli bari NAS, anda boleh merujuk pada Pengerusi NAS, Saudara Hafidz Zawawi ataupun Timbalan Pengerusi NAS, Saudari Solehatul Akmal. Program utama untuk semester ini adalah Seminar Siasah Syariaah Peringkat Kebangsaan.

Akhir kalam, selamat menuntut ilmu dan selamat meningkatkan kualiti kalian sebagai pemegang status baru iaitu mahasiswa. Kalian adalah penyambung kepada sejarah kegemilangan mahasiswa sebelum ini. Wallahua’lam.

Wehdatul Fikr Dan Wehdatul Amal Dalam Konteks Amal Islami


Skop amal Islami yang dibincangkan di sini ialah yang melibatkan amal jama’iy dan amal ijtima’iy.Fokus amal Islami ialah dakwah, tarbiyyah dan jihad. Pengertian Wehdatul Fikri dan Wehdatul ‘Amal ialah Wehdatul fikri bermaksud kesatuan fikiran dalam meletakkan matlamat, halatuju, sikap dan pandangan dalam jama’ah. Wehdatul amal bermaksud kesatuan tindakan dalam menjayakan perancangan, penyusunan kerja dan tenaga ke arah mencapai matlamat bersama dalam jama’ah.Ini bererti wehdatul fikri adalah asas penting ke arah wehdatul amal.

Asas-asas Wehdatul Fikri

1. Keutuhan aqidah.
2. Kefahaman tentang tasawwur Islam yang jelas.
3. Kejelasan matlamat dan fikrah perjuangan.
4. Kejelasan prinsip dan keanjalan strategi
5. Memahami uslub dan manhaj jama’ah.
6. Kefahaman waqi’e medan perjuangan.
7. Kekuatan ukhuwwah dan keterbukaan pandangan.

Asas-asas Wehdatul Amal

1. Keutuhan kesatuan fikrah ( wehdatul fikri )
2. Memahami tasawwur amal Islami ( fiqh amal jamai’iy dan ijtima’iy )
3. Memahami kerja berorganisasi
4. Menguasai nizam ( sistem ) jamaah .
5. Perencanaan ( takhtith) yang teliti.
6. Wala’ dan tsiqoh antara qiyadah dan jundiyyah.

Wasilah Wehdatul Fikri dan Wehdatul Amal

1. Pembentukan ahli dan pimpinan melalui tarbiyyah dan perkaderan ( takwin )
2. Perancangan melalui qiyadah dan syuro ( takhtith )
3. Penyusunan melalui organisasi yang tersusun ( tanzhim )

Halangan-halangan Ke Arah Wehdatul Fikri dan Wehdatul Amal

1. Kelemahan dan kelembapan takwin.
2. Kemasukan unsur-unsur fikrah ajnabi.
3. Munculnya berbagai firqah dan aliran dalam jamaah.
4. Kelesuan qiyadah dan kedegilan jundiyyah.
5. Perencanaan yang spontan dan perlaksanaan yang kucar kacir.

Khamis, 7 April 2011

NAS Mengucapkan Selamat Bercuti

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih

Alhamdulillah ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnianya kita dapat lagi merasai dua nikmat yang cukup besar iaitu nikmat Iman dan nikmat Islam. Kita kena sedar bahawa iman yang kita ada kini adalah satu Rahmat dari Allah SWT. Masyarakat sekarang selalu memikirkan bahawa iman yang mereka ada kini adalah kerana semalam mereka beriman. Dan iman yang ada mereka ada hari ini satu jaminan bahawa kita akan beriman juga esok. Walhal, Iman yang kita miliki setiap hari ini adalah kerana perasaan kasih sayang seorang Tuan kepada hamba-hambanya. Hattakan kita kena sedar bahawa terpilihnya seorang hamba itu untuk memasuki Syurga, adalah hasil dari kasihNya sebagai Tuan kepada hambaNya juga. Semoga kita menjadi salah seorang daripadanya.

NAS mengucapkan selamat bercuti kepada semua mahasiswa KIAS yang baru sahaja selesai menduduki imtihan. Pulanglah ke kampung masing-masing dengan membawa sinaran dakwah dan bukannya membawa kegelapan dakwah kepada masyarakat. Masyarakat yang kian kritikal ini sebenarnya memerlukan para murabbi yang ramai. Kita tidak lagi boleh memikirkan bahawa hanya seorang murabbi sahaja sudah mencukupi untuk setiap kampung. Walhal, masalah di setiap kampung itu sudah semakin parah tahapnya. Logikkah kita hanya menyerahkan sepenuhnya tugas mendidik masyarakat di bahu para imam semata-mata, padahal permain utama dalam mewujudkan masalah masyarakat ini adalah golongan pemuda-pemudi. Mustahillah seorang imam itu akan mampu melakukan dua kerja, iaitu mengerakkan sebuah masjid dan juga terjun sendiri ke kancah masalah yang dikuasai oleh anak muda yang sememang bukan sebaya dengan imam itu.

Sudah memadai juga seandainya kepulangan kita ini hanya menjadi sahabat kepada golongan ini sahaja dan juga individu yang melaung-laungkan kalimah Allah di corong-corong speaker masjid bagi menyeru umat manusia menyembah kepada yang berhak disembah. Golongan agama perlu selangkah lebih maju kehadapan dalam menangani isu semasa yang kian mencabar sekarang ini. Masyarakat semakin asing dengan Islam. Jangan sehinggakan Islam itu hanya menjadi tulisan di dalam IC semata-mata cukuplah. Murabbi sendiri perlu kreatif memikirkan uslub dakwah masing-masing mengikut kemampuan diri dan juga uruf masyarakat setempat.

Wahai murabbi sekalian, janganlah dalam ghairahnya kita berdakwah, kita inginkan sesuatu hasil yang cepat dan sempurna. Mustahil usaha dakwah itu mengambil masa yang singkat. Dakwah Nabi Muhammad yang maksum sendiri pun mengambil masa yang bertahun-tahun. Dan jangan sesekali murabbi itu meninggalkan dendam di dalam diri mad’u kita. Jika itu yang berlaku, sia-sialah apa yang dirancang kerana mereka tidak lagi akan mendekati kita.Wallahu a’lam.

Rabu, 9 Mac 2011

NAS Mengucapkan Selamat Menduduki Imtihan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Segala puji bagi Allah, Tuhan Yang Maha Esa, Maha Perkasa, Maha Mulia lagi Maha Pengampun, Zat yang mengubah malam menjadi siang, sebagai peringatan bagi orang-orang yang berfikir dan sebagai wawasan bagi orang-orang yang mahu mengambil pelajaran. Allah adalah Zat yang menyedarkan orang-orang yang dipilihNya di antara makhluk-makhlukNya, di mana ia tidak menyibukkan hambaNya untuk memperhatikan masalah keduniaan semata-mata, tetapi ia juga menyibukkan hambaNya untuk selalu patuh kepadaNya, sentiasa menggunakan akal fikiran yang benar dan sentiasa mencari bimbingan dan petunjukNya.

Nadi Al-Syariah mengucapkan selamat menduduki imtihan kepada semua warga Nadi Al-Syariah khasnya, dan mahasiswa-mahasiswi KIAS umumnya. Jadikan musim imtihan ini sebagai satu peringatan kepada kita yang lalai dalam menuntut ilmu sebelum ini. Jangan jadikan imtihan ini sebagai satu bebanan kepada diri kita sehingga kita sanggup melanggar hukum-hukum Allah. Nauzubillah Min Zalik. Dan jaga juga menjadikan kejayaan dalam imtihan ini sebagai matlamat utama kita. Kerana matlamat utama kehidupan manusia di ala mini tetap tidak akan berubah sampai bila-bila pun, yakni Ikhlas kerana Allah. Penyusun kitab Minhajul Abidin, Imam Al-Ghazali pernah berkata bahawa, “Pada suatu masa nanti akan lahir golongan yang menuntut ilmu bukan kerana Allah. Yakni hanya untuk peperiksaan semata-mata”. Kita bermohon kepada Allah supaya semua mahasiswa KIAS ini terhindar dari menjadi salah seorang dalam golongan yang disebut tadi. NAS menasihatkan agar semua mahasiswa Jabatan Al-Syariah berusaha sebaik mungkin, dekatkan diri dengan Allah Yang Memberi Kejayaan kepada hamba-hambaNya dan bertawakallah kepadaNya jua.

NAS berhasrat untuk menerangkan maksud tawakal sebagai satu kefahaman buat kita. Tawakal didefinisikan sebagai suatu penyerahan diri kepada Allah dan berpegang teguh dengan qada’ dan qadarNya. Ia merupakan konsep hidup yang membolehkan seseorang itu menghayati hidup ini dengan iman dan amal, takwa dan bakti. Sifat tawakkal ini tidak sempurna jika tidak cukup syarat-syaratnya. Ia terdiri daripada keazaman yang kuat dan usaha yang bersungguh-sungguh serta diiringi pula dengan penyerahan diri kepada Allah untuk diberi pembalasan. Imam Al-Ghazali Rahimahullah dalam kitabnya “Ihya’ Ulumddin” menyebut bahawa tawakal ini lahirnya daripada keimana kepada Allah SWT. Tauhid kepada Allah merupakan asas bagi tawakal itu. Selanjutnya beliau mengkelaskan sifat tawakal itu kepada tiga peringkat atau martabat iaitu:

Pertama

Orang yang bertawakal yang berpegang teguh kepada Allah umpama seseorang yang berpegang kepada wakil yang sudah diketahui benar dan amanah serta terkenal sebagai pemelihara yang baik, hatinya benar-benar tertumpu dan telahpun menumpahkan kasih sayang kepadanya.

Kedua

Mereka yang percaya kepada Allah dan berpegang teguh kepadaNya. Ibarat percaya seorang kanak-kanak kecil kepada ibunya, tidak ada sesuatu yang lebih dipercayai kecuali ibunya. Bahkan semua tindak-tanduk hanya tidak lain melainkan kepada ibunya saja. Darjah ini lebih tinggi sedikit daripada darjah yang pertama tadi.

Ketiga

Orang yang telah menyerahkan dirinya kepada Allah SWT umpama mayat yang telah diletakkan di hadapan si pemandi. Mayat tidak mempunyai sebarang tenaga atau kuasa untuk melakukan sesuatu dan hanya berserah kepada si pemandi tersebut untuk melakukan apa saja kehendaknya.

Peringkat inilah yang paling tinggi sekali kerana penyerahan yang bulat semata-mata kepada Allah. Hatinya tidak terdetik kecuali Allah, jiwanya penuh dengan sinaran iman, segala usaha dan tenaga hanya semata-mata untuk Allah.

Setiap muslim wajib mengamalkan sifat tawakal ini, kerana ia bukan sahaja suatu makam yang tinggi tetapi juga suatu tenaga yang dapat menghayati seseorang itu dengan baik.

NAS juga menasihatkan para mahasiswa sekali agara jangan sesekali terdetik dihati kita ini untuk cuba meniru ataupun melakukan penipuan di dalam peperiksaan ini. Sabda Nabi Muhammad SAW, “Siapa yang menipu, maka dia bukanlah daripada golonganku”.

Ingatlah bahawa ulama itu ada bermacam-macam. Sabda Nabi SAW, “Ulama itu ada tiga jenis. Pertama orang yang alim yang hidup dengan ilmunya dan masyarakat juga hidup dengan ilmunya. Kedua, orang yang alim yang masyarakat mengambil manfaat dengan ilmunya tetapi dia sendiri membinasakan dirinya.Ketiga, orang alim yang hidup dengan ilmunya tetapi orang lain tidak mengambil manfaat dengan ilmunya”. Kita sebagai manusia yang dikurniakan akal oleh Allah hendaklah menggunakannya bagi memilih yang terbaik untuk kita. Wallahu a’lam.