Rabu, 9 Mac 2011

NAS Mengucapkan Selamat Menduduki Imtihan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Segala puji bagi Allah, Tuhan Yang Maha Esa, Maha Perkasa, Maha Mulia lagi Maha Pengampun, Zat yang mengubah malam menjadi siang, sebagai peringatan bagi orang-orang yang berfikir dan sebagai wawasan bagi orang-orang yang mahu mengambil pelajaran. Allah adalah Zat yang menyedarkan orang-orang yang dipilihNya di antara makhluk-makhlukNya, di mana ia tidak menyibukkan hambaNya untuk memperhatikan masalah keduniaan semata-mata, tetapi ia juga menyibukkan hambaNya untuk selalu patuh kepadaNya, sentiasa menggunakan akal fikiran yang benar dan sentiasa mencari bimbingan dan petunjukNya.

Nadi Al-Syariah mengucapkan selamat menduduki imtihan kepada semua warga Nadi Al-Syariah khasnya, dan mahasiswa-mahasiswi KIAS umumnya. Jadikan musim imtihan ini sebagai satu peringatan kepada kita yang lalai dalam menuntut ilmu sebelum ini. Jangan jadikan imtihan ini sebagai satu bebanan kepada diri kita sehingga kita sanggup melanggar hukum-hukum Allah. Nauzubillah Min Zalik. Dan jaga juga menjadikan kejayaan dalam imtihan ini sebagai matlamat utama kita. Kerana matlamat utama kehidupan manusia di ala mini tetap tidak akan berubah sampai bila-bila pun, yakni Ikhlas kerana Allah. Penyusun kitab Minhajul Abidin, Imam Al-Ghazali pernah berkata bahawa, “Pada suatu masa nanti akan lahir golongan yang menuntut ilmu bukan kerana Allah. Yakni hanya untuk peperiksaan semata-mata”. Kita bermohon kepada Allah supaya semua mahasiswa KIAS ini terhindar dari menjadi salah seorang dalam golongan yang disebut tadi. NAS menasihatkan agar semua mahasiswa Jabatan Al-Syariah berusaha sebaik mungkin, dekatkan diri dengan Allah Yang Memberi Kejayaan kepada hamba-hambaNya dan bertawakallah kepadaNya jua.

NAS berhasrat untuk menerangkan maksud tawakal sebagai satu kefahaman buat kita. Tawakal didefinisikan sebagai suatu penyerahan diri kepada Allah dan berpegang teguh dengan qada’ dan qadarNya. Ia merupakan konsep hidup yang membolehkan seseorang itu menghayati hidup ini dengan iman dan amal, takwa dan bakti. Sifat tawakkal ini tidak sempurna jika tidak cukup syarat-syaratnya. Ia terdiri daripada keazaman yang kuat dan usaha yang bersungguh-sungguh serta diiringi pula dengan penyerahan diri kepada Allah untuk diberi pembalasan. Imam Al-Ghazali Rahimahullah dalam kitabnya “Ihya’ Ulumddin” menyebut bahawa tawakal ini lahirnya daripada keimana kepada Allah SWT. Tauhid kepada Allah merupakan asas bagi tawakal itu. Selanjutnya beliau mengkelaskan sifat tawakal itu kepada tiga peringkat atau martabat iaitu:

Pertama

Orang yang bertawakal yang berpegang teguh kepada Allah umpama seseorang yang berpegang kepada wakil yang sudah diketahui benar dan amanah serta terkenal sebagai pemelihara yang baik, hatinya benar-benar tertumpu dan telahpun menumpahkan kasih sayang kepadanya.

Kedua

Mereka yang percaya kepada Allah dan berpegang teguh kepadaNya. Ibarat percaya seorang kanak-kanak kecil kepada ibunya, tidak ada sesuatu yang lebih dipercayai kecuali ibunya. Bahkan semua tindak-tanduk hanya tidak lain melainkan kepada ibunya saja. Darjah ini lebih tinggi sedikit daripada darjah yang pertama tadi.

Ketiga

Orang yang telah menyerahkan dirinya kepada Allah SWT umpama mayat yang telah diletakkan di hadapan si pemandi. Mayat tidak mempunyai sebarang tenaga atau kuasa untuk melakukan sesuatu dan hanya berserah kepada si pemandi tersebut untuk melakukan apa saja kehendaknya.

Peringkat inilah yang paling tinggi sekali kerana penyerahan yang bulat semata-mata kepada Allah. Hatinya tidak terdetik kecuali Allah, jiwanya penuh dengan sinaran iman, segala usaha dan tenaga hanya semata-mata untuk Allah.

Setiap muslim wajib mengamalkan sifat tawakal ini, kerana ia bukan sahaja suatu makam yang tinggi tetapi juga suatu tenaga yang dapat menghayati seseorang itu dengan baik.

NAS juga menasihatkan para mahasiswa sekali agara jangan sesekali terdetik dihati kita ini untuk cuba meniru ataupun melakukan penipuan di dalam peperiksaan ini. Sabda Nabi Muhammad SAW, “Siapa yang menipu, maka dia bukanlah daripada golonganku”.

Ingatlah bahawa ulama itu ada bermacam-macam. Sabda Nabi SAW, “Ulama itu ada tiga jenis. Pertama orang yang alim yang hidup dengan ilmunya dan masyarakat juga hidup dengan ilmunya. Kedua, orang yang alim yang masyarakat mengambil manfaat dengan ilmunya tetapi dia sendiri membinasakan dirinya.Ketiga, orang alim yang hidup dengan ilmunya tetapi orang lain tidak mengambil manfaat dengan ilmunya”. Kita sebagai manusia yang dikurniakan akal oleh Allah hendaklah menggunakannya bagi memilih yang terbaik untuk kita. Wallahu a’lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan