Nadi Al-Syariah (NAS) adalah sebuah kelab mahasiswa Jabatan Al-Syariah di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) yang telah pun dilancarkan penubuhannya secara rasmi pada 24 Ramadhan 1430H bersamaan 14 September 2009M dengan disempurnakan oleh Dr. Zakaria @ Mahmood bin Daud selaku Timbalan Ketua Eksekutif Hal Ehwal Akademik (HEA) di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).
Antara tujuan dan matlamat penubuhan ini adalah:
1.Memantapkan penguasaan ilmiah di kalangan siswa dan siswi Jabatan Al-Syariah.
2.Memupuk semangat kerjasama di kalangan ahli bagi merealisasikan konsep tolong-menolong dalam usaha mencapai kejayaan dalam bidang akademik.
3.Membantu pihak jabatan menjayakan program ilmiah/akademik untuk mahasiswa atau masyarakat.
4.Menjadi platform kepada mahasiswa jabatan ini untuk menganjurkan program bersifat akademik bagi kepentingan pengajian dalam bidang masing-masing.
5.Melatih mahasiswa jabatan ini kemahiran berorganisasi sebagai ilmu pelengkap apabila berada dalam masyarakat.
Sehubungan dengan menyambut baik kata-kata Ustaz Hamidi Abdul Ghani, Ketua Jabatan Al-Syariah dengan penubuhan NAS bagi melahirkan faqih berjiwa dai'e. Mahasiswa/wi bukan sahaja sepatutnya didedahkan dengan idea-idea ilmiah sahaja dalam kehidupan mereka di kolej-kolej atau IPTA/S tetapi mereka juga perlu belajar bagaimana untuk bergerak sebagai dai'e pada suatu hari nanti. Oleh itu mereka hendaklah didedahkan dengan asas-asas kepimpinan, cara berorganisasi dan yang berkaitan sebagai bekal untuk turun ke medan masyarakat sebenar.
Penubuhan ini bukanlah sebagai suatu beban kepada mahasiswa/wi yang sibuk dengan pengajian masing-masing tetapi ia menjadi salah satu medium kepada mereka khususnya dari jabatan Al-Syariah untuk bersama-sama memikirkan bagaimana untuk meningkat akademik mereka dengan usaha-usaha melalui prorgram-program yang akan dirancang dan dilaksanakan oleh jawatankuasa yang telah dilantik dalam NAS. Program yang bakal diadakan juga mungkin melibatkan masyarakat setempat bagi menyahut kata-kata ketua jabatan Al-Syariah iaitu bagi melahirkan 'faqih berjiwa dai'e' seperti yang diwar-warkan tadi.
Dengan kehadiran NAS ini, kami mengharapkan ia juga menjadi salah satu persatuan yang boleh bergerak bagi membantu persatuan-persatuan selain NAS di KIAS ini.
Mudah-mudahan dengan penubuhan kelab ini mampu menjadi medium dan proksi bagi mahasiswa Jabatan Al-Syariah khususnya dalam menyuarakan pandangan, melibatkan diri dalam kancah dunia kepimpinan dan menjadi medan permulaan bagi mendepani cabaran mendatang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan