Khamis, 7 April 2011

NAS Mengucapkan Selamat Bercuti

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih

Alhamdulillah ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnianya kita dapat lagi merasai dua nikmat yang cukup besar iaitu nikmat Iman dan nikmat Islam. Kita kena sedar bahawa iman yang kita ada kini adalah satu Rahmat dari Allah SWT. Masyarakat sekarang selalu memikirkan bahawa iman yang mereka ada kini adalah kerana semalam mereka beriman. Dan iman yang ada mereka ada hari ini satu jaminan bahawa kita akan beriman juga esok. Walhal, Iman yang kita miliki setiap hari ini adalah kerana perasaan kasih sayang seorang Tuan kepada hamba-hambanya. Hattakan kita kena sedar bahawa terpilihnya seorang hamba itu untuk memasuki Syurga, adalah hasil dari kasihNya sebagai Tuan kepada hambaNya juga. Semoga kita menjadi salah seorang daripadanya.

NAS mengucapkan selamat bercuti kepada semua mahasiswa KIAS yang baru sahaja selesai menduduki imtihan. Pulanglah ke kampung masing-masing dengan membawa sinaran dakwah dan bukannya membawa kegelapan dakwah kepada masyarakat. Masyarakat yang kian kritikal ini sebenarnya memerlukan para murabbi yang ramai. Kita tidak lagi boleh memikirkan bahawa hanya seorang murabbi sahaja sudah mencukupi untuk setiap kampung. Walhal, masalah di setiap kampung itu sudah semakin parah tahapnya. Logikkah kita hanya menyerahkan sepenuhnya tugas mendidik masyarakat di bahu para imam semata-mata, padahal permain utama dalam mewujudkan masalah masyarakat ini adalah golongan pemuda-pemudi. Mustahillah seorang imam itu akan mampu melakukan dua kerja, iaitu mengerakkan sebuah masjid dan juga terjun sendiri ke kancah masalah yang dikuasai oleh anak muda yang sememang bukan sebaya dengan imam itu.

Sudah memadai juga seandainya kepulangan kita ini hanya menjadi sahabat kepada golongan ini sahaja dan juga individu yang melaung-laungkan kalimah Allah di corong-corong speaker masjid bagi menyeru umat manusia menyembah kepada yang berhak disembah. Golongan agama perlu selangkah lebih maju kehadapan dalam menangani isu semasa yang kian mencabar sekarang ini. Masyarakat semakin asing dengan Islam. Jangan sehinggakan Islam itu hanya menjadi tulisan di dalam IC semata-mata cukuplah. Murabbi sendiri perlu kreatif memikirkan uslub dakwah masing-masing mengikut kemampuan diri dan juga uruf masyarakat setempat.

Wahai murabbi sekalian, janganlah dalam ghairahnya kita berdakwah, kita inginkan sesuatu hasil yang cepat dan sempurna. Mustahil usaha dakwah itu mengambil masa yang singkat. Dakwah Nabi Muhammad yang maksum sendiri pun mengambil masa yang bertahun-tahun. Dan jangan sesekali murabbi itu meninggalkan dendam di dalam diri mad’u kita. Jika itu yang berlaku, sia-sialah apa yang dirancang kerana mereka tidak lagi akan mendekati kita.Wallahu a’lam.